Inisiatif bersepadu 34 syarikat PJH berlesen tawar pilihan pakej haji patuh syariah, selamat, dan telus di bawah satu bumbung.

Lembaga Tabung Haji (TH) dengan kerjasama Persatuan Syarikat Pengendalian Pelancongan Bumiputera Malaysia (BUMITRA Malaysia) bakal menganjurkan Karnival Haji, Umrah dan Pelancongan kali ke-5 (KHUP5) dari 9 hingga 11 Oktober 2026 di Mövenpick Hotel & Convention Centre (MHCC), KLIA, Sepang. Memasuki edisi kelima penganjurannya, karnival ini berfungsi sebagai hab sehenti utama yang menghimpunkan 34 Pengelola Jemaah Haji (PJH) berlesen lantikan rasmi TH bagi Musim Haji 1448H/2027M untuk menyalurkan maklumat serta menawarkan pelbagai pilihan pakej haji, umrah, dan pelancongan patuh syariah yang telus dan berdaya saing.

Pengarah Haji TH, Mohd Hisham Harun, menegaskan bahawa KHUP5 bukan sekadar ruang promosi jualan pakej, sebaliknya bertindak sebagai medan ilmu dan panduan komuniti agar masyarakat celik prosedur rasmi sebelum membuat sebarang komitmen kewangan. Antara mesej paling kritikal yang ditekankan ialah prinsip “Tiada Visa, Tiada Haji”, selaras dengan penguatkuasaan ketat Kerajaan Arab Saudi yang hanya membenarkan jemaah bervisa haji sah berada di kawasan Masyair (Arafah, Muzdalifah, dan Mina). Pelanggaran terhadap peraturan ini boleh membawa hukuman berat merangkumi denda, pemenjaraan, serta tindakan senarai hitam kemasukan ke Tanah Suci.

Presiden BUMITRA Malaysia, Dr. Wan Muhamad Adam Wan Norudin, menambah bahawa kehadiran 34 syarikat PJH berlesen di bawah satu bumbung memudahkan orang ramai meneliti penawaran pakej secara bersemuka, merangkumi pilihan kategori ekonomi sehinggalah perkhidmatan premium. Platform ini dirangka untuk membina keyakinan bakal jemaah dalam merancang ibadah secara tersusun sekali gus menghapuskan risiko terpedaya dengan tawaran visa tidak sah atau sindiket penipuan pakej yang sering mengambil kesempatan terhadap bakal jemaah.

Bagi mengiktiraf kecemerlangan perkhidmatan para pengendali jemaah, TH turut memperkenalkan Anugerah Pengelola Jemaah Haji (Anugerah PJH) yang disampaikan oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), YB Senator Dr. Zulkifli Hasan sempena penyerahan lesen musim haji baru-baru ini. Selain pameran pakej, karnival ini diserikan dengan Bual Bicara dan Podcast TH, kemunculan animasi BoBoiBoy, persembahan artis jemputan, serta bazar jualan. Orang ramai digalakkan membuat prapendaftaran dalam talian di portal khupmalaysia.com untuk menikmati akses laluan pantas (fast lane) ketika hadir ke lokasi.