
Nestlé Malaysia telah memeterai Memorandum Persefahaman (MoU) bersama Institut Penyelidikan Produk Halal (IPPH), Universiti Putra Malaysia (UPM) di Pameran Halal Antarabangsa Malaysia (MIHAS) 2026, Kuala Lumpur. Kolaborasi strategik ini bertujuan memperluas integrasi elemen Halal dalam pendidikan sains dan teknologi menerusi inisiatif program HalSTEM. Langkah ini memberi ruang kepada lebih ramai pelajar sekolah menengah merasai pendedahan praktikal terhadap aplikasi sains, teknologi, dan inovasi yang menjadi nadi penggerak industri halal moden.
Gandingan ini menggabungkan reputasi Nestlé Malaysia sebagai Pusat Kecemerlangan Halal Global bersama kepakaran penyelidikan saintifik UPM untuk memperkukuh modul pembelajaran, program latihan guru, dan aktiviti bimbingan pelajar. Inisiatif HalSTEM turut diletakkan di bawah pakatan strategik SYNERGY Halal Nestlé Malaysia bersama Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM), yang berfungsi membina ekosistem halal mampan meliputi pembangunan modal insan, pemerkasaan PKS, rantaian logistik, serta memperkukuh kedudukan Malaysia sebagai hab halal terkemuka dunia.
Menerusi program HalSTEM, pelajar didedahkan dengan pelbagai modul amali interaktif yang mengaitkan teori bilik darjah dengan operasi industri sebenar. Antara aktiviti yang dijalankan merangkumi kaedah penentusahan ramuan melalui mikroskopi, perbandingan bahan berasaskan tumbuhan dan haiwan, aplikasi kecerdasan buatan (AI), teknologi penapisan air, formulasi pembuatan sabun sertu, hingga pengiraan nutrisi makanan. Pendekatan berasaskan pengalaman ini direka khusus bagi memupuk kefahaman mendalam tentang peranan penting disiplin STEM dalam menjamin integriti halal sepanjang rantaian bekalan.
Kerjasama rasmi yang diperluaskan daripada projek perintis di Terengganu dan Melaka ini bakal digerakkan ke peringkat Semenanjung Malaysia sebelum disasarkan ke seluruh negara dalam fasa jangka panjang. Disokong komitmen kepimpinan Nestlé Malaysia dan UPM, sinergi universiti-industri ini bukan sahaja menyemarakkan minat generasi muda terhadap bidang STEM, malah menjadi platform penting dalam mencungkil bakat masa hadapan yang berkemahiran tinggi dan berdaya saing bagi memacu industri halal negara.
