Inisiatif lawatan penandaarasan perkukuh jalinan strategik serta perkongsian amalan terbaik dalam pemantapan imej dan reputasi institusi pengajian tinggi.

Universiti Utara Malaysia (UUM) memilih Bahagian Komunikasi Korporat (BKK) Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) sebagai antara penanda aras utama dalam pengurusan komunikasi korporat dan perhubungan awam institusi menerusi satu lawatan kerja muhibah yang berlangsung di Kampus Sultan Abdul Jalil Shah, UPSI. Lawatan anjuran Jabatan Komunikasi Korporat UUM ini bertujuan memberi pendedahan secara langsung kepada kakitangan mengenai amalan terbaik, strategi penyelarasan media, serta tadbir urus imej korporat yang dipraktikkan secara cemerlang oleh UPSI.

Dalam sesi perkongsian tersebut, Timbalan Pengarah BKK UPSI, Dr. Nur Safinas Albakry, memperincikan peranan BKK sebagai pusat perkhidmatan dan pembangunan imej universiti yang disokong oleh 31 kakitangan merentasi lima unit utama, iaitu Unit Pentadbiran dan Khidmat Pelanggan, Unit Khidmat Korporat, Unit Media dan Komunikasi Digital, Unit Visual Kreatif, serta Unit Produksi. Beliau menegaskan bahawa BKK bertindak sebagai gerbang utama bagi segala aspek penjenamaan, publisiti, protokol acara rasmi, mahupun khidmat pelanggan bagi memastikan imej institusi kekal terpelihara secara holistik.

Selain operasi harian, aspek komunikasi krisis menjadi tunjang penting dalam ketangkasan gerak kerja BKK UPSI. Menurut Dr. Nur Safinas, pasukannya bekerjasama rapat dengan pengurusan risiko dan pihak pengurusan tertinggi universiti untuk merangka naratif rasmi dalam tempoh pantas 24 jam apabila sesuatu isu berbangkit, sekali gus menjamin penyampaian maklumat yang telus, sahih, dan berkesan kepada semua pihak berkepentingan.

Sementara itu, Pengarah Jabatan Komunikasi Korporat UUM, Bakhari Che Mohamed Ariff, menyifatkan kehadiran seramai 16 delegasi UUM ke UPSI adalah sebagai medan “belajar dan berguru” memandangkan reputasi UPSI yang diiktiraf sebagai antara penanda aras terbaik dalam bidang ini. Kunjungan yang merupakan sebahagian daripada siri lawatan penandaarasan UUM ke beberapa universiti awam lain seperti UPNM dan UKM ini diisi dengan sesi dialog interaktif, perkongsian pengalaman pengurusan situasi luar jangka semasa acara rasmi, serta pertukaran idea mendepani cabaran dunia komunikasi era digital.