Dominasi Pentas AIM 25, Universal Music Malaysia Lakar Kejayaan Gemilang di Bumi Kenyalang

Anugerah Industri Muzik ke-25 AIM 25: Datuk Seri Siti Nurhaliza memegang trofi kemenangan kategori Lagu Terbaik

Universal Music Malaysia (UMMY) bersama barisan rakan kerjasama strategik meneruskan dominasi luar biasa dalam industri muzik tanah air apabila merangkul 10 daripada 23 Kategori Utama, bersamaan dengan 43.47 peratus keseluruhan anugerah utama yang dipertandingkan pada malam kemuncak Anugerah Industri Muzik ke-25 (AIM25).

Kejayaan ini turut diperkukuh dengan tiga kemenangan menerusi Kategori Pra-Anugerah, menjadikan jumlah keseluruhan 13 kemenangan daripada 31 kategori kompetitif yang diangkat pada edisi jubli perak tersebut, sekali gus menyaksikan hampir separuh daripada trofi berprestij AIM berada dalam ekosistem UMMY dan rakan kongsi.

Malam gemilang tersebut menyaksikan Datuk Seri Siti Nurhaliza muncul sebagai antara penerima trofi paling cemerlang apabila membawa pulang empat anugerah termasuk Vokal Wanita Terbaik menerusi lagu Kesuma, Kolaborasi Artis Tempatan Bersama Luar Negara Terbaik menerusi Cenderamaya, serta kejayaan berganda menerusi karya Pesanan Buat Diri yang diangkat sebagai Lagu Tradisional Terbaik dan memenangi trofi paling berprestij, Lagu Terbaik. Kekuatan pelbagai genre turut diserlahkan menerusi kemenangan lagu Bila Sampai Waktu ciptaan Faizal Tahir dan Ezra Kong bagi kategori Lagu Rock Terbaik, Tanya Tuhan oleh Yonnyboii & Malique (Lagu Rap / Hip Hop Terbaik), serta Matahari Malaya (Lagu Perpaduan Terbaik), di samping pengiktirafan Seni Berdamai Dengan Takdir sebagai Lagu Paling Tinggi Distrim. Lebih manis, legenda rock negara, Ella, turut diiktiraf menerusi Anugerah Sri Wirama atas sumbangan hayat, pencapaian serta pengaruh besar beliau sepanjang 38 tahun berkecimpung dalam arena seni.

Menurut Pengarah Urusan Universal Music Malaysia, Kim Lim, pencapaian bersejarah ini bukan sekadar tentang bilangan trofi, tetapi manifestasi kepada kerjasama strategik, kreativiti, keberanian, serta kerja keras para artis, pencipta lagu, penerbit, pemuzik dan seluruh pasukan di belakang tabir. Senada dengan itu, Pengarah Kanan A&R dan Pengurusan Artis, Hermond Cheng, turut melahirkan rasa bangga terhadap legasi Ella yang terus relevan merentas generasi, membuktikan kekuatan katalog muzik tempatan di bawah ekosistem UMMY yang kekal mendapat tempat di hati peminat.