Siti Hariesa Bergelut Trauma, Niezam Zaidi Tampil dengan Sisi Green Flag dalam Sumpahan Mencintai

Drama Sumpahan Mencintai mengetengahkan kisah seorang wanita yang cuba meneruskan kehidupan selepas melalui pengalaman traumatik, sambil mengangkat elemen emosi, kekeluargaan, cinta dan misteri menerusi karakter Akiera lakonan Siti Hariesa dan Zakief yang dibawakan Niezam Zaidi.

Drama terbitan Radius One Sdn. Bhd. dengan arahan Rashid Sibir ini bukan sekadar memfokuskan kisah percintaan, malah menyentuh isu trauma, penghakiman masyarakat, ketabahan wanita, maruah keluarga, kebenaran serta peluang untuk membina semula kehidupan.

Sumpahan Mencintai mengisahkan Akiera yang kembali ke kampung halaman selepas tiga tahun selepas melalui satu kejadian yang mengubah kehidupannya. Dia telah diculik dan dipaksa menyaksikan satu pembunuhan, namun kebenaran tersebut dirahsiakan demi menjaga hubungan kekeluargaan.

Kepulangannya ke kampung tidak seperti yang diharapkan apabila Akiera berdepan tuduhan, penolakan dan pandangan serong daripada masyarakat, termasuk individu yang rapat dengannya.

Menurut Siti Hariesa, watak Akiera memberikan cabaran berbeza kerana dia perlu memainkan dua emosi dalam satu karakter, iaitu sisi ceria ketika berada dalam keadaan normal dan sisi trauma apabila teringat kembali perkara buruk yang dialaminya.

“Sebagai Akiera saya perlu banyak bermain dengan emosi seperti bersikap ceria pada situasi normal dan kemudian menjadi trauma apabila terkenang hal-hal buruk yang berlaku kepadanya,” katanya.

Sementara itu, Niezam Zaidi tampil dengan karakter yang berbeza daripada kebanyakan watak yang pernah dibawakannya sebelum ini. Menerusi watak Zakief, penonton dapat melihat perubahan seorang lelaki yang pada awalnya cepat menghukum Akiera sebelum mula memahami keadaan sebenar yang dilaluinya.

Perasaan benci Zakief secara perlahan berubah menjadi rasa tanggungjawab dan akhirnya cinta. Perjalanan karakter tersebut turut memperlihatkan sisi ‘green flag’ Niezam apabila Zakief memilih untuk melindungi dan berdiri di sisi wanita yang dicintainya.

Sumpahan Mencintai turut mengetengahkan bagaimana trauma boleh memberi kesan mendalam kepada seseorang serta kepentingan sokongan, kefahaman dan penerimaan dalam proses seseorang kembali menjalani kehidupan.

Drama ini turut dibintangi Nafiez Zaidi, Yuna Rahim, Uyaina Arshad, Ellya Keesha, Dilla Ahmad, Zaid Erakad dan Sharul Kamal.

Sumpahan Mencintai ditayangkan dari 14 September hingga 22 Oktober 2026, setiap Isnin hingga Khamis, pukul 10 malam menerusi Slot Megadrama di Astro Ria atau Sooka.