“Serangan Radikal” Satukan Eddie G dan Chubb-E Dalam Kolaborasi Hip-Hop Penuh Mesej Sosial

Industri hip-hop tempatan kembali meriah dengan kemunculan single terbaharu “Serangan Radikal”, yang menampilkan kolaborasi antara dua artis hip-hop, Eddie G dan Chubb-E.

Diterbitkan oleh Luncai Emas Sdn Bhd, lagu ini mengetengahkan pendekatan hip-hop sosial dengan menyentuh pelbagai fenomena dan realiti kehidupan masyarakat moden. Menerusi susunan muzik yang santai dan lirik bersahaja, karya ini mengangkat isu seperti budaya menunjuk-nunjuk, sifat cemburu, ketagihan hiburan, kehidupan di tempat kerja serta kecenderungan masyarakat menghakimi sesuatu tanpa ilmu yang mencukupi.

Menurut Eddie G, tajuk “Serangan Radikal” merujuk kepada satu bentuk serangan minda yang digunakan untuk menyampaikan mesej tanpa melibatkan sebarang tindakan fizikal.

Sementara itu, Chubb-E menyifatkan karya tersebut sebagai ruang untuk mereka menyampaikan pandangan secara jujur menerusi pendekatan muzik tersendiri.

Lagu dan lirik “Serangan Radikal” dihasilkan sendiri oleh Eddie G dan Chubb-E, manakala hak cipta lagu dan lirik dimiliki oleh Luncai Emas Sdn Bhd.

Eddie G atau Eddie Ghiller sebelum ini dikenali menerusi kumpulan Tiga Swagger sebelum meneruskan kerjaya solo dengan karya seperti Cerita Sama, Setiap Waktu Engkau Gemerlap (S.W.E.G.) dan Yataghayar bersama Asfan Shah. Beliau turut dikenali dengan penulisan berunsurkan storytelling sosial serta minatnya terhadap budaya skateboarding dan streetwear.

Chubb-E atau nama sebenarnya Muhammad Sharul Ashlyn pula mula mendapat perhatian selepas menjuarai Ceria Megastar dan menerima anugerah Artis Baharu Lelaki Popular ABPBH 33. Selain bidang nyanyian dan lakonan, beliau turut aktif sebagai komposer dan penerbit muzik dengan karya seperti Padan Muka, Aku Tak Kisah, Tiada Noktah dan Biru Malam bersama Amir Masdi.

“Serangan Radikal” tidak ditujukan kepada mana-mana pihak, sebaliknya menjadi cerminan terhadap pelbagai sikap dan fenomena dalam masyarakat masa kini. Lagu ini turut disertai sebuah video muzik arahan pengarah dari Nigeria, Moses (Mosesvisuals), yang dirakam dalam sebuah studio dengan konsep visual yang disesuaikan dengan identiti lagu.

Single “Serangan Radikal” kini boleh didengari di platform penstriman muzik seperti Spotify, Apple Music, YouTube Music dan KKBOX, manakala video muzik rasminya boleh ditonton menerusi saluran YouTube Luncai Emas.