Yes Group Berhad Terima Kelulusan Bursa Malaysia Untuk Penyenaraian Di Pasaran ACE

Yes Group Management Berhad, pengendali jenama Yes Travel dan penyedia penyelesaian Mesyuarat, Insentif, Persidangan dan Pameran (MICE), menerima kelulusan daripada Bursa Malaysia Securities Berhad untuk cadangan penyenaraiannya di Pasaran ACE Bursa Malaysia.

Kelulusan tersebut menjadi satu pencapaian penting buat syarikat yang telah membina pengalaman dalam industri pelancongan korporat dan pengurusan acara sejak lebih sedekad lalu.

Sejarah operasi Yes Group bermula pada tahun 2008 menerusi penubuhan Yes Travel & Events Consultant Sdn. Bhd., sebelum berkembang kepada Yes Travel & Holidays Sdn. Bhd. pada tahun 2009.

Daripada sebuah penyedia perkhidmatan perancangan acara korporat, Yes Group berkembang menjadi penyedia penyelesaian MICE sehenti yang menawarkan pelancongan insentif tersuai serta pengurusan acara untuk pelanggan korporat tempatan dan antarabangsa.

Hari ini, Kumpulan disokong oleh pengalaman industri, proses operasi yang diperakui ISO 9001:2015 serta sokongan teknologi digital melalui aplikasi mudah alih Yes Travel.

Cadangan IPO Yes Group melibatkan terbitan awam sebanyak 91.87 juta saham biasa baharu serta tawaran jualan sebanyak 45.93 juta saham biasa sedia ada, menjadikan jumlah keseluruhan tawaran IPO sebanyak 137.80 juta saham.

Selepas penyenaraian, Yes Group dijangka mempunyai modal saham terbitan yang diperbesarkan sebanyak 530 juta saham.

Menurut Pengarah Urusan Yes Group, Puan Angela Mak Shau Kwan, penyenaraian yang dicadangkan ini merupakan langkah penting dalam perjalanan syarikat untuk memperkukuhkan kedudukan sebagai penyedia penyelesaian pelancongan dan acara insentif tersuai.

Beliau berkata, pengalaman yang dibina selama bertahun-tahun telah membolehkan Yes Group berkembang daripada penyedia perkhidmatan pelancongan dan acara kepada pakar MICE dengan keupayaan pelaksanaan yang lebih kukuh.

Penyenaraian tersebut dijangka memberikan platform lebih besar kepada Yes Group untuk meningkatkan keterlihatan jenama, mengembangkan keupayaan operasi serta meneruskan pertumbuhan perniagaan.

Menurut Pengarah Urusan Malacca Securities Sdn. Bhd., Puan Lim Chia Wei, Yes Group telah membina kedudukan kukuh dalam segmen pelancongan insentif korporat dan MICE melalui pengalaman operasi serta hubungan pelanggan yang mantap.

Hasil daripada IPO tersebut akan digunakan bagi beberapa inisiatif strategik termasuk pengembangan perkhidmatan pengangkutan darat di Eropah, penubuhan pejabat serantau di United Kingdom, penubuhan Yes Academy, modal kerja am serta perbelanjaan berkaitan penyenaraian.

Pengembangan ke Eropah dijangka membantu meningkatkan keupayaan Yes Group dalam menyediakan penyelesaian pelancongan insentif antarabangsa, selain memberikan kawalan lebih baik terhadap kos dan kualiti perkhidmatan.

Sementara itu, Yes Academy akan memberi tumpuan kepada latihan dan pembangunan bakat dalam industri pelancongan bagi menyokong keperluan tenaga kerja profesional dalam sektor MICE yang semakin berkembang.

Dengan pengalaman lebih 15 tahun dalam industri pelancongan dan acara, penyenaraian Yes Group di ACE Market Bursa Malaysia dijangka menjadi satu langkah penting dalam memperluaskan operasi serta membuka peluang pertumbuhan baharu.