Selepas melengkapkan siri jelajah di Amerika Syarikat, Eropah dan Jepun, kumpulan popular Indonesia, D’Masiv kini meneruskan perjalanan muzik mereka ke beberapa negara Asia termasuk Taiwan, Hong Kong dan Singapura menerusi jelajah “D’MASIV Asia Home Run”.
Bagi peminat di Malaysia, Kuala Lumpur dipilih sebagai salah satu destinasi istimewa dalam siri jelajah tersebut sebelum kumpulan itu menutup perjalanan konsert mereka di Jakarta.
Dibawakan oleh Neptunes Presents, konsert “D’MASIV Asia Home Run” bakal berlangsung di Mega Star Arena, Kuala Lumpur pada 20 November 2026, jam 8 malam.

Vokalis D’Masiv, Rian Ekky Pradipta berkata, jelajah tersebut bukan sekadar siri persembahan muzik, tetapi menjadi ruang untuk kumpulan itu kembali mendekati peminat di luar negara serta berkongsi semangat yang membentuk perjalanan muzik mereka sejak awal penubuhan.
Menurut beliau, perjalanan D’Masiv bermula di Indonesia dan semangat tersebut menjadi inspirasi utama dalam membawa konsep “Asia Home Run” kepada peminat di seluruh rantau ini.
“Kami datang lagi untuk bertemu peminat di pelbagai negara dengan membawa kehangatan muzik serta tenaga yang menjadi nadi perjalanan kami,” katanya.
Beliau turut berharap peminat dapat merasai pengalaman konsert yang lebih dekat dan istimewa, seolah-olah menikmati persembahan dalam suasana yang selesa seperti berada di rumah sendiri.
D’Masiv yang ditubuhkan pada tahun 2003 kini dianggotai oleh Rian Ekky Pradipta sebagai vokalis, Dwiki Aditya Marsall dan Nurul Damar Ramadan sebagai pemain gitar, Rayyi Kurniawan Iskandar Dinata di bahagian bass serta Wahyu Piadji sebagai pemain dram.
Menurut Pengarah Projek Neptunes Presents, Shamsir Firdaus Shariman, Malaysia mempunyai hubungan istimewa dengan D’Masiv kerana negara ini sering dianggap sebagai rumah kedua buat kumpulan tersebut.
Beliau berkata, sambutan hangat daripada peminat Malaysia, tenaga ketika persembahan serta pengalaman bersama peminat menjadi antara faktor utama yang membuatkan D’Masiv sentiasa ingin kembali ke Kuala Lumpur.
Mega Star Arena dipilih sebagai lokasi konsert kali ini kerana kapasiti yang lebih besar bagi menampung jumlah peminat D’Masiv yang semakin berkembang di Malaysia.
Konsert tersebut bakal menampilkan rangkaian lagu popular D’Masiv termasuk “Pergilah Kasih”, “Jangan Menyerah” dan “Cinta Ini Membunuhku”, selain karya-karya baharu yang akan dipersembahkan bersama peminat.
Sementara itu, Pengarah RANS Entertainment, Nagita Slavina menyifatkan jelajah “D’MASIV Asia Home Run” sebagai satu usaha untuk memberikan pengalaman konsert yang lebih dekat dan peribadi kepada peminat, selain memperluaskan lagi perjalanan muzik kumpulan tersebut di peringkat antarabangsa.
Menurut beliau, penonton bakal menikmati persembahan selama kira-kira dua jam yang menggabungkan lagu-lagu baharu bersama karya popular yang telah mencorakkan perjalanan muzik D’Masiv.
Konsert ini turut akan menampilkan konsep visual yang membawa semangat Indonesia serta kisah perjalanan kumpulan tersebut sejak awal penubuhan.
Bagi peminat Malaysia, tiket pra-jualan akan mula dijual pada 8 September 2026, jam 10 pagi melalui laman web rasmi dmasivtour.com.
Kategori tiket yang ditawarkan termasuk Festival (Berdiri) pada harga RM188, Super VIP pada harga RM588 dengan pelbagai pakej eksklusif seperti tempat duduk premium, laluan masuk pentas, sesi bergambar, barangan eksklusif, poster bertandatangan dan tiket koleksi edisi terhad.
Turut tersedia ialah kategori Diamond berharga RM288, Platinum RM148 dan Gold RM108.
Selain itu, peminat juga boleh mendapatkan pakej tambahan seperti poster bertandatangan bersama sesi bergambar pada harga RM100 serta tiket koleksi edisi terhad pada harga RM10.
Dengan gabungan nostalgia, tenaga dan perjalanan muzik selama lebih dua dekad, “D’MASIV Asia Home Run” dijangka menjadi satu lagi malam istimewa buat peminat muzik Indonesia di Malaysia.












