Muzium Tekstil Merdeka Dibuka Kepada Orang Ramai Di Merdeka 118

Muzium Tekstil Merdeka (MTM) kini rasmi dibuka kepada orang ramai sebagai destinasi kebudayaan baharu yang didedikasikan untuk memelihara dan meraikan warisan tekstil Alam Melayu menerusi penceritaan yang mendalam serta pengalaman budaya yang interaktif.

Muzium ini dibangunkan oleh PNB Merdeka Ventures Sdn. Berhad (PNBMV), anak syarikat milik penuh Permodalan Nasional Berhad (PNB), dan terletak bersebelahan Stadium Merdeka yang bersejarah di dalam bangunan Look at 118.

Majlis pembukaan MTM telah disempurnakan oleh Kebawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Raja Permaisuri Agong Raja Zarith Sofiah. Turut hadir ialah Tan Sri Dr. Ungku Zeti Ungku Aziz, YB Puan Hannah Yeoh, Tan Sri Shamsul Azri dan Datuk Seri TPr Fadlun Mak Ujud bersama ahli Lembaga Pengarah serta pihak Pengurusan PNB dan PNB Merdeka Ventures.

Berteraskan tema “The Malay World in Threads and Tales”, Muzium Tekstil Merdeka bercita-cita untuk menjadi muzium tekstil terkemuka di Asia serta pusat rujukan global bagi pengajian, penyelidikan dan penghayatan tekstil Alam Melayu.

Direka berasaskan lapan galeri bertema yang diinspirasikan daripada motif Bunga Pecah Lapan, muzium ini meneroka evolusi tekstil Alam Melayu menerusi budaya benda, seni pertukangan, simbolisme, kerohanian, politik, kesusasteraan dan masa depan tradisi tekstil.

Pengalaman di muzium turut menggabungkan artifak asli dengan teknologi interaktif serta elemen pelbagai deria bagi memberikan pengalaman yang lebih mendalam kepada pengunjung.

Dalam titahnya, Seri Paduka Baginda Raja Permaisuri Agong Raja Zarith Sofiah menekankan bahawa setiap negara mempunyai warisan yang perlu dihargai, dipelihara dan diwariskan kepada generasi seterusnya.

Seri Paduka Baginda turut berharap Muzium Tekstil Merdeka dapat menjadi pusat pembelajaran dan penerokaan ilmu yang penting kepada semua, selain menjadi inspirasi kepada wanita Malaysia hari ini dan generasi akan datang.

Seri Paduka Baginda juga menyeru golongan muda supaya menghargai warisan dan budaya negara agar khazanah tersebut tidak hilang begitu sahaja.

Koleksi peribadi Allahyarhamah Puan Azah Aziz menjadi antara teras utama Muzium Tekstil Merdeka. Beliau merupakan tokoh budaya yang banyak mendedikasikan kehidupannya kepada pendidikan serta pemeliharaan tradisi tekstil dan warisan seni Malaysia.

Koleksi tersebut disumbangkan oleh keluarga Allahyarhamah kepada PNB dan merangkumi 240 helai busana serta 69 barangan perhiasan tradisional, termasuk sarung songket, Baju Kurung Limar dan Tekat Emas.

Muzium ini turut mengambil inspirasi daripada karya penting Allahyarhamah Puan Azah Aziz, Rupa & Gaya: Busana Melayu, yang mengetengahkan tekstil Melayu sebagai cerminan identiti, sejarah, budaya dan masyarakat.

Edisi bahasa Inggeris penerbitan tersebut telah dilancarkan pada 2025 bagi membolehkan karya berkenaan diperkenalkan kepada khalayak antarabangsa yang lebih luas.

Pengerusi Kumpulan PNB, YM Raja Tan Sri Dato’ Seri Arshad Raja Tun Uda, berkata Merdeka 118 bukan sekadar sebuah mercu tanda seni bina, sebaliknya turut mencerminkan kepercayaan PNB bahawa pembinaan negara bukan hanya berkaitan kemajuan ekonomi, tetapi juga usaha memelihara warisan, kisah dan identiti bersama.

Menurut beliau, PNB berbesar hati diberi amanah untuk memelihara koleksi luar biasa Allahyarhamah Puan Azah Aziz menerusi Muzium Tekstil Merdeka.

Muzium Tekstil Merdeka melengkapkan rangkaian tarikan di presint Merdeka 118 yang turut merangkumi The Look at 118, The View at 118, 118 Mall serta Stadium Merdeka yang telah dipulihara.

Kesemua tarikan tersebut membentuk sebuah destinasi bersepadu yang menggabungkan elemen warisan, budaya, beli-belah dan pengalaman bertaraf dunia dalam satu presint.

Muzium Tekstil Merdeka kini dibuka kepada orang ramai dan mengalu-alukan rakyat Malaysia serta pengunjung dari seluruh dunia untuk menelusuri sejarah, menghayati seni dan memahami warisan tekstil Alam Melayu.

Dalam fasa awal pembukaan, muzium menerima kunjungan secara berkumpulan mengikut slot yang ditetapkan dan tidak dibuka untuk kunjungan tanpa tempahan.

Pengunjung digalakkan membuat tempahan slot terlebih dahulu bagi memastikan kelancaran lawatan.

Untuk mendapatkan maklumat lanjut mengenai waktu operasi, tempahan tiket dan pameran yang sedang berlangsung, orang ramai boleh melayari MerdekaTextile.com atau mengikuti saluran media sosial rasmi @MerdekaTextileMuseum.