BYD Sime Motors Lancar BYD SEALION 7 2026 dengan Varian Dynamic Baharu

BYD Sime Motors, pengedar rasmi kenderaan BYD di Malaysia, memperkenalkan BYD SEALION 7 2026 yang menampilkan varian Dynamic baharu bersama penambahbaikan pada varian Premium dan Performance bagi memenuhi keperluan pemandu Malaysia yang semakin berkembang.

Model yang dipertingkatkan ini menawarkan akses yang lebih mudah kepada pemilikan kenderaan elektrik (EV), jarak pemanduan yang lebih jauh, keupayaan pengecasan yang lebih pantas serta pengalaman pemilikan yang lebih menyeluruh.

Sejak diperkenalkan pada 2024, BYD SEALION 7 telah muncul sebagai SUV Elektrik Segmen D nombor satu di Malaysia pada tahun 2025 dengan lebih 6,300 unit berjaya diserahkan kepada pelanggan di seluruh negara.

Untuk tahun 2026, BYD memperkenalkan tema baharu “Pinnacle of Performance, Redefined FURTHER for Tomorrow”, yang mencerminkan peningkatan ketara dari segi jarak pemanduan, kemudahan pengecasan, kebolehcapaian serta keyakinan pelanggan melalui rangkaian jualan dan perkhidmatan selepas jualan yang semakin berkembang.

Pengarah Urusan BYD Malaysia, Jacob Ma berkata, BYD SEALION 7 telah menerima sambutan baik daripada pengguna Malaysia yang menghargai gabungan prestasi, teknologi, praktikaliti dan reka bentuk moden.

Menurut beliau, pengenalan varian Dynamic bersama penambahbaikan pada varian Premium dan Performance memberi lebih banyak pilihan kepada pelanggan untuk memilih EV yang sesuai dengan gaya hidup masing-masing.

Sementara itu, Pengarah Urusan BYD Sime Motors, Adeline Lew berkata, kejayaan sesebuah jenama bukan sekadar diukur melalui jualan, malah turut bergantung kepada pengalaman pemilikan yang dinikmati pelanggan setiap hari.

Beliau berkata, BYD kini mempunyai 44 pusat jualan dan pemasaran, 28 pusat selepas jualan serta 12 pusat badan dan cat di seluruh Malaysia, selain baru melancarkan Program BYD Certified Pre-Owned yang menampilkan bilik pameran pertama di rantau Asia Pasifik.

Varian Dynamic baharu ditawarkan sebagai pilihan lebih mampu milik tanpa menjejaskan aspek teknologi dan praktikaliti. Model pacuan roda belakang itu menghasilkan kuasa 170 kW dan tork 380 Nm, dengan jarak pemanduan sehingga 520 kilometer (NEDC) serta pecutan 0 hingga 100 km/j dalam masa 7.3 saat.

Varian Premium pula kini dilengkapi bateri BYD Blade berkapasiti 91.39 kWh berbanding 82.56 kWh sebelum ini, sekali gus meningkatkan jarak pemanduan daripada 567 kilometer kepada 650 kilometer (NEDC). Keupayaan pengecasan pantas DC turut dipertingkatkan daripada 150 kW kepada 230 kW.

Bagi mereka yang mahukan prestasi lebih tinggi, varian Performance menawarkan sistem pacuan semua roda (AWD) dengan kuasa 390 kW dan tork 690 Nm. Model ini mampu memecut dari 0 hingga 100 km/j dalam hanya 4.5 saat serta menawarkan jarak pemanduan sehingga 600 kilometer (NEDC). Ia turut dilengkapi bateri BYD Blade 91.39 kWh, pengecasan pantas DC 230 kW, angkup brek merah serta rim bersaiz 20 inci.

Semua varian BYD SEALION 7 2026 didatangkan dengan teknologi BYD Blade Battery, sistem Advanced Driver Assistance Systems (ADAS), ciri sambungan pintar serta dibangunkan menggunakan platform e-Platform 3.0 yang meningkatkan aspek keselamatan, kecekapan dan pengalaman pemanduan.

BYD SEALION 7 Dynamic ditawarkan pada harga RM163,800, namun 300 pelanggan pertama boleh memilikinya pada harga istimewa RM159,800 selepas penjimatan RM4,000.

Varian Premium pula dijual pada harga RM188,800 manakala varian Performance berharga RM203,800. Semua varian turut menikmati pakej pelancaran eksklusif termasuk wallbox percuma dan bonus tukar beli bagi varian terpilih.

Sempena pelancaran model baharu ini, BYD Sime Motors turut menganjurkan jelajah “BEYOND YOUR DRIVE” di GF Luxe, berhampiran Parkson, 1 Utama Shopping Centre dari 30 Julai hingga 2 Ogos 2026. Pelanggan yang membuat tempahan mana-mana model BYD sepanjang acara tersebut akan menerima kredit pengecasan bernilai RM200.

BYD SEALION 7 2026 turut didatangkan dengan pakej waranti menyeluruh termasuk waranti kenderaan selama enam tahun atau 150,000 kilometer, waranti bateri Blade voltan tinggi selama lapan tahun atau 160,000 kilometer serta waranti unit pemanduan selama lapan tahun atau 160,000 kilometer.

Sebagai nilai tambah, setiap pembelian turut disertakan adapter Vehicle-to-Load (V2L) dan kabel pengecas Type 2 dengan palam tiga pin bagi memberikan pengalaman pemilikan EV yang lebih lengkap kepada pelanggan.