“LATIHAN PESTAPORA MALAYSIA 2026” PERKENAL BARISAN ARTIS FASA KEDUA

KUALA LUMPUR, 21 JULAI 2026 — Kurang sebulan menjelang penganjuran pada 15 Ogos 2026, Latihan Pestapora Malaysia 2026 terus meningkatkan keterujaan peminat menerusi pengumuman barisan artis Fasa 2 yang bakal menggegarkan Stadium Hoki Nasional, Bukit Jalil. Festival muzik rentas budaya anjuran Hitman Solutions dan Boss Creator itu kini tampil dengan barisan artis yang lebih lengkap, menghimpunkan bakat muzik dari Malaysia dan Indonesia dalam sebuah acara yang meraikan kepelbagaian muzik, budaya serta semangat serumpun.

Menerusi pengumuman terbaharu ini, lima lagi nama artis dan pemuzik diumumkan untuk melengkapkan barisan persembahan, termasuk Tipe-X dan Last Child dari Indonesia, serta Ruffedge, Lah Ahmad dan DJ Disko Santan & Friends dari Malaysia. Kehadiran mereka dijangka memberikan warna tersendiri kepada festival yang menggabungkan pelbagai genre muzik dan generasi peminat dalam satu pentas.

Buat peminat muzik Indonesia, kemunculan Last Child pastinya menjadi antara tarikan utama kerana kumpulan tersebut bakal membuat penampilan sulung mereka di Malaysia. Sementara itu, Tipe-X dijangka menghidupkan suasana festival menerusi persembahan bertenaga yang menggabungkan elemen ska dengan karya-karya popular mereka yang telah menjadi kegemaran peminat selama lebih dua dekad.

Dari Malaysia pula, Ruffedge dan Lah Ahmad bakal membawa kembali nostalgia muzik R&B tempatan menerusi rangkaian lagu malar segar yang pernah mewarnai industri muzik tanah air. Kehadiran DJ Disko Santan & Friends pula akan melengkapkan pengalaman festival dengan seleksi muzik yang dijangka menyemarakkan suasana sepanjang acara berlangsung.

Dengan barisan artis Fasa 2 ini, Latihan Pestapora Malaysia 2026 menjanjikan pengalaman lebih daripada sekadar konsert. Sepanjang 12 jam, pengunjung bakal menikmati persembahan muzik tanpa henti daripada 15 artis Malaysia dan Indonesia, selain berpeluang meneroka pelbagai aktiviti serta menikmati pilihan makanan dan minuman yang disediakan di sekitar kawasan festival.

Bagi memastikan keselesaan pengunjung, pihak penganjur turut menyediakan satu botol air mineral percuma kepada setiap pengunjung ketika memasuki festival, selain stesen free refillable water bagi memastikan peminat kekal terhidrat sepanjang acara. Pelbagai vendor makanan dan minuman turut disediakan untuk menawarkan pilihan hidangan serta sajian ringan kepada pengunjung.

Dalam perkembangan berkaitan jualan tiket, kategori General Admission Phase 2 kini telah dibuka pada harga RM249 bagi setiap tiket. Penganjur turut memperkenalkan Bundle Pesta untuk mereka yang ingin hadir secara berkumpulan, dengan pembelian empat tiket General Admission (GA) pada harga Fasa 1 melayakkan pembeli menerima satu tiket GA percuma, sekali gus memberikan penjimatan kepada peminat yang hadir bersama keluarga atau rakan-rakan.

Kategori tiket tempat duduk juga masih tersedia untuk pembelian, namun jumlahnya semakin terhad. Peminat disarankan mendapatkan tiket lebih awal bagi mengelakkan terlepas peluang untuk menyaksikan festival muzik rentas budaya ini secara langsung.

Latihan Pestapora Malaysia 2026 turut mendapat sokongan daripada pelbagai rakan strategik, termasuk Perbadanan Stadium Malaysia sebagai Rakan Lokasi, Warrior sebagai Rakan Minuman, Sunway Putra Hotel sebagai Rakan Hotel dan Malaysia Airlines sebagai Rakan Penerbangan Rasmi. Festival ini turut disokong oleh rakan radio ERA FM, ERA Sabah, ERA Sarawak, HITZ, MIX, SINAR dan THR GEGAR, manakala Astro Gempak, MeleTOP, World of Buzz dan Foodie bertindak sebagai Rakan Media rasmi, dengan sokongan daripada Tourism Malaysia.

Dengan gabungan barisan artis popular, persembahan muzik selama 12 jam, pilihan makanan dan minuman serta pelbagai aktiviti festival, Latihan Pestapora Malaysia 2026 dijangka menjadi antara acara muzik yang dinanti-nantikan tahun ini. Festival ini bukan sahaja menjadi platform untuk meraikan muzik Malaysia dan Indonesia, malah mengukuhkan hubungan budaya serumpun menerusi pengalaman hiburan yang unik dan penuh warna-warni.

Untuk maklumat lanjut serta perkembangan terkini, ikuti @latihanpestapora.my di semua
platform media sosial.