Akad Tak Dipinta Tampilkan Dendam, Rahsia Keluarga dan Cinta Yang Memusnahkan Di Slot Samarinda TV3

Bagaimana jika sebuah perkahwinan tidak dibina atas dasar cinta, sebaliknya lahir daripada dendam yang telah lama membara? Itulah persoalan yang menjadi nadi kepada drama terbaharu TV3, Akad Tak Dipinta, sebuah melodrama psikologi romantis yang sarat dengan konflik emosi, manipulasi dan rahsia keluarga.

Bakal bersiaran mulai 30 Julai hingga 2 September 2026, setiap Isnin hingga Khamis pada jam 10.00 malam menerusi slot Samarinda TV3, drama 20 episod ini menampilkan gandingan Redza Rosli, Nasuha Sulaiman, Faa Zaini, Darien Aeldra dan Sharifah Shahora.

Akad Tak Dipinta mengisahkan Seri lakonan Nasuha Sulaiman, seorang akauntan yang berusaha membina semula kehidupannya selepas kehilangan cinta pertamanya, Saif (Fendy Bakry), dalam satu kemalangan tragis. Namun, kehidupannya berubah apabila dia dipertemukan dengan Seth (Redza Rosli), majikannya yang berperwatakan dingin dan penuh misteri.

Dalam usaha melarikan diri daripada sebuah perkahwinan yang mengongkong, Seri menerima lamaran Seth tanpa mengetahui bahawa keputusan itu bakal mengubah seluruh hidupnya. Selepas bergelar isteri, Seri dikejutkan dengan hakikat bahawa Seth merupakan adik kandung kepada arwah Saif.

Lebih mengejutkan, Seth mengahwini Seri bukan kerana cinta, tetapi demi membalas dendam atas tragedi yang menimpa keluarganya. Seri akhirnya menjadi mangsa hukuman emosi atas kesalahan yang tidak pernah dilakukannya, manakala rumah tangga mereka semakin bergolak dengan kemunculan Harlyn (Faa Zaini), seorang wanita yang sanggup melakukan apa sahaja untuk memiliki Seth dan menghancurkan kehidupan Seri.

Di sebalik konflik rumah tangga, perebutan kuasa dan permainan emosi, satu demi satu rahsia gelap mula terbongkar. Kebenaran mengenai kematian Saif serta persengketaan keluarga yang selama ini tersembunyi akhirnya mula terungkai, memaksa setiap watak berdepan dengan realiti yang tidak pernah mereka jangkakan.

Menurut Redza Rosli, watak Seth merupakan antara cabaran terbesar sepanjang karier lakonannya kerana memerlukan keseimbangan antara kebencian, dendam dan perasaan yang mula berubah tanpa disedari.

“Watak Seth menguji emosi dan minda kerana dia terperangkap antara kebencian yang dalam dan perasaan yang mula berubah tanpa disedari. Perkahwinan ini bermula atas dasar dendam, namun kebenaran sering kali datang dengan harga yang sangat tinggi. Saya percaya penonton akan turut merasakan pergelutan jiwa setiap watak dalam drama ini,” katanya.

Lebih daripada sekadar kisah rumah tangga yang penuh penderitaan, Akad Tak Dipinta mengangkat tema kejujuran, pengorbanan, pengkhianatan dan kesan dendam yang mampu memusnahkan kehidupan. Dengan jalan cerita yang dipenuhi elemen psikologi, misteri dan suspens, drama ini dijangka memberikan pengalaman tontonan yang mendebarkan dari episod pertama hingga ke penamat.

Jangan lepaskan peluang menyaksikan Akad Tak Dipinta mulai 30 Julai hingga 2 September 2026, setiap Isnin hingga Khamis, jam 10.00 malam menerusi slot Samarinda di TV3.