Penantian peminat sukan tempur akhirnya berakhir apabila Fury Championship Vol. II bakal menggegarkan Karisma Arena, Seremban, Negeri Sembilan pada 25 Julai ini. Lebih menarik, peminat di Malaysia dan seluruh dunia kini boleh menyaksikan setiap aksi secara langsung menerusi Tonton Pay-Per-View (PPV) pada harga hanya RM16.90, sekali gus menikmati pengalaman malam pertarungan penuh debaran dari mana sahaja mereka berada.
Selepas kejayaan edisi sulung yang meraih jutaan tontonan digital, Fury Championship kembali dengan skala lebih besar menerusi penyertaan seramai 26 petarung dari tujuh negara. Kejohanan kali ini menjanjikan aksi yang lebih sengit dengan gabungan pertarungan profesional, kemunculan bakat baharu serta perebutan kejuaraan yang bakal menguji kemampuan setiap petarung di dalam gelanggang.
Antara tumpuan utama kejohanan ialah perebutan Fury Muay Thai Lightweight Championship yang menemukan wakil Malaysia, Izat Zaki, dengan pencabar dari Indonesia, Brian Lawitan. Pertembungan berprestij ini dijangka menjadi kemuncak acara selain beberapa lagi pertarungan berprofil tinggi yang membabitkan barisan petarung dari Malaysia, Indonesia, Thailand, Maghribi, Iran, Britain dan Afghanistan.

Sebagai rakan penyiaran rasmi, Tonton membawakan keseluruhan pengalaman Fight Day secara langsung kepada peminat. Lima pertarungan pembukaan bermula jam 5.15 petang boleh disaksikan secara percuma, termasuk aksi Faris HFL menentang Syafiq, Qaie Mongkolchai bertemu Abilio “The Bumble Bee”, Abozar “The Molotok” berdepan Paisal Geronimo, Wan Epul menentang Wasu Kib Boxing dan Reidzwan “The Golden Shin” bertemu Sammy Algiers.
Bermula jam 8.00 malam pula, lapan pertarungan utama yang hanya boleh disaksikan menerusi Tonton PPV bakal mengambil alih pentas. Antara aksi yang dinanti-nantikan ialah Danial “Kereta Kebal” menentang Gusti Supergass, Sabri Thaivisix berdepan Abdelhamid “The Victories”, Daelonial “Kilat Boy” bertemu Kitidech Hirunsuk, Amisha menentang Katayoun Scorpio, Asura Thiagesh berdepan Yotharit Petchyindee, Bimo “Baby Legion” bertemu Hasbullah Yat Rambo, Putih “Pretty Boy” menentang Ilham Flanker Leoisa sebelum acara kemuncak menyaksikan Izat Zaki membawa cabaran Malaysia menentang Brian “The Spoiled Boy” Lawitan bagi merebut Fury Muay Thai Lightweight Championship.
Dengan akses PPV di Tonton, peminat bukan sahaja berpeluang menyaksikan setiap tumbukan, sepakan dan detik kemenangan secara langsung, malah turut menikmati liputan penuh sehingga majlis penutup kejohanan. Bagi mereka yang terlepas siaran langsung, detik-detik menarik daripada Fury Championship Vol. II juga boleh ditonton semula menerusi platform Tonton selepas acara berlangsung.
Dengan harga hanya RM16.90, peminat dapat menikmati kesemua 13 pertarungan termasuk aksi perebutan kejuaraan yang hanya boleh disaksikan secara eksklusif di Tonton PPV.
Jangan lepaskan peluang untuk menjadi sebahagian daripada malam penuh aksi ini. Dapatkan akses Tonton PPV dan saksikan Fury Championship Vol. II secara langsung dari mana sahaja anda berada.







