Marsha Milan Teruja Sertai Konsert Ungu 3 Dasawarsa Di Idea Live Arena

Peluang untuk berkongsi pentas bersama kumpulan legenda Indonesia, Ungu, sempena konsert Ungu 3 Dasawarsa: Special Night in Kuala Lumpur bukan sekadar satu lagi undangan persembahan buat Marsha Milan. Sebaliknya, ia menjadi detik yang cukup bermakna dalam perjalanan seninya apabila impian yang pernah disimpan dalam diam akhirnya menjadi kenyataan.

Konsert yang bakal berlangsung pada 5 September 2026 di Idea Live Arena itu diadakan sempena sambutan tiga dekad perjalanan seni Ungu dan akan menyaksikan Marsha tampil sebagai artis jemputan khas. Kolaborasi ini pastinya menjadi antara momen paling dinanti-nantikan oleh peminat muzik Nusantara.

Mengimbau detik menerima pelawaan untuk menyertai konsert tersebut, Marsha mengakui beliau tidak menyangka hasrat yang pernah terlintas di fikirannya menjadi realiti.

“Sejujurnya, bila Abang Pasha datang membuat persembahan di GV baru-baru ini, saya ada di sana. Dalam hati saya sempat terfikir, ‘Bestnya kalau satu hari nanti dapat berkongsi pentas dan berduet dengan Abang Pasha.’ Jadi apabila saya menerima tawaran ini, saya rasa sangat gembira. Rasa macam angan-angan kecil yang saya simpan dalam diam akhirnya menjadi kenyataan,” katanya.

Menurut Marsha, peluang untuk berkongsi pentas bersama antara kumpulan paling berpengaruh di Nusantara itu merupakan satu penghormatan besar buat dirinya. Lagu-lagu Ungu juga, katanya, telah menjadi sebahagian daripada perjalanan hidup ramai pencinta muzik termasuk dirinya sendiri.

Walaupun kini sedang memberi tumpuan kepada persiapan menjelang Anugerah Juara Lagu ke-40 (AJL40), Marsha berkata beliau tetap komited memastikan persembahannya bersama Ungu dipersiapkan sebaik mungkin.

“Kedua-duanya memang menjadi keutamaan saya. Cuma buat masa sekarang, fokus saya lebih kepada AJL kerana tarikhnya semakin dekat. Selepas itu, kami masih ada masa untuk membuat persiapan bagi konsert Ungu pada bulan September,” jelasnya.

Dalam masa yang sama, beliau memaklumkan bahawa proses pemilihan lagu untuk persembahan solo masih dalam perbincangan kerana mahu membawakan beberapa lagu sendiri. Manakala bagi lagu duet, beliau menyerahkan sepenuhnya kepada Ungu.

“Buat masa ini saya masih dalam proses memuktamadkan lagu-lagu untuk persembahan solo saya kerana saya ingin membawakan beberapa lagu sendiri pada malam itu. Untuk lagu duet pula, saya serahkan kepada Ungu kerana semua lagu mereka sangat ikonik dan penuh nostalgia, termasuklah lagu-lagu duet mereka,” katanya.

Mengenai penampilan pada malam konsert, Marsha berkata beliau masih belum memberikan fokus sepenuhnya terhadap aspek tersebut, namun akan tetap tampil dengan identiti dan imejnya yang tersendiri.

Bagi Marsha, persembahan itu bukan sekadar mengenai nyanyian semata-mata, tetapi juga sebuah pengalaman yang ingin dikongsi bersama penonton melalui penceritaan, emosi dan kenangan yang dibawa oleh setiap lagu.

“Apa yang penonton boleh jangkakan daripada saya ialah sebuah persembahan yang penuh dengan penceritaan dan emosi, disertai momen-momen sing-along yang pasti mengimbau nostalgia. Insya-Allah, saya harap semua orang dapat menikmati setiap detik persembahan bersama. Walau apa pun, fokus utama kita termasuk saya sendiri adalah untuk benar-benar menikmati konsert ini dan mengimbau kembali kenangan melalui lagu-lagu hebat yang akan dipersembahkan oleh Ungu,” ujarnya.

Selain membawakan rangkaian lagu-lagu popular, Ungu turut bakal memberikan kejutan istimewa menerusi persembahan sebuah lagu baharu buat pertama kali di konsert ini. Momen eksklusif tersebut dijangka menjadi antara tarikan utama buat para peminat, sekali gus meraikan perjalanan tiga dekad Ungu dalam industri muzik sambil memperlihatkan evolusi muzik mereka yang terus relevan merentasi generasi.

Berkongsi hubungan peribadinya dengan karya-karya Ungu, Marsha berkata hampir setiap lagu kumpulan itu mempunyai cerita dan memori tersendiri buat para pendengar.

“Kalau sebut sahaja lagu-lagu Ungu, memang terus teringat memori. Ramai yang menjadikan lagu mereka sebagai lagu tema perkahwinan, lagu putus cinta, atau teman ketika melalui pelbagai fasa kehidupan. Saya yakin ramai yang pernah ketawa, menangis dan menyanyi bersama lagu-lagu mereka. Saya sendiri pun begitu,” katanya.

Menurut beliau, inilah yang menjadikan konsert ulang tahun ke-30 Ungu begitu istimewa kerana ia bukan sekadar meraikan perjalanan sebuah kumpulan muzik, tetapi turut menghimpunkan kenangan yang telah dikongsi bersama jutaan peminat selama lebih tiga dekad.

Sementara itu, Pengarah Konsert daripada COMs. Creative Studio, En. Zairul Addry Helmy berkata penglibatan Marsha bakal memberikan dimensi yang lebih istimewa kepada keseluruhan persembahan, sekali gus melengkapkan sambutan tiga dekad perjalanan seni Ungu.

“Marsha memiliki kekuatan vokal dan penghayatan yang mampu menyentuh emosi penonton. Kami percaya gandingan beliau bersama Ungu akan menjadi antara momen yang paling dinantikan pada malam konsert nanti. Kami berharap para peminat dapat hadir dan menikmati sebuah persembahan yang bukan sahaja menghiburkan, malah meninggalkan kenangan yang sukar dilupakan,” katanya.

Mengakhiri perkongsiannya, Marsha turut mengajak seluruh peminat Ungu dan pencinta muzik tanah air agar tidak melepaskan peluang menyaksikan konsert bersejarah tersebut secara langsung.

“Walaupun tiket hampir habis terjual, jangan risau kerana masih ada lagi yang boleh dibeli. Jadi jangan tunggu lama-lama! Saya sendiri pun sudah tidak sabar hendak berkongsi pentas dengan Ungu dan mendengar lagu-lagu yang bakal mereka bawakan pada konsert nanti,” katanya.

Konsert Ungu 3 Dasawarsa: Special Night in Kuala Lumpur dijangka menjadi antara acara muzik terbesar tahun ini, menghimpunkan peminat setia Ungu dan pencinta muzik Nusantara dalam sebuah malam yang penuh nostalgia, emosi dan kenangan.