30 Tahun Kemudian, Butterfingers Kembali Membawa Magis 1.2 Milligrams

Butterfingers bakal mengimbau kembali perjalanan muzik mereka menerusi sambutan ulang tahun ke-30 album sulung, 1.2 Milligrams, yang akan dipersembahkan dalam dua showcase eksklusif di Odeon KL Event Hall pada 8 dan 9 Ogos 2026. Album yang diterbitkan pada tahun 1996 itu bukan sekadar menjadi koleksi peminat muzik alternatif tempatan, malah berkembang menjadi karya yang membesar bersama kehidupan ramai pendengarnya selama tiga dekad.

Ketika dilancarkan, landskap muzik dunia sedang dipengaruhi gelombang grunge, punk dan bunyi gitar yang lantang. Butterfingers menerima inspirasi daripada era tersebut, namun di sebalik lapisan distortion dan tenaga rock yang agresif, mereka sentiasa percaya bahawa melodi adalah nadi utama sesebuah lagu. Pendekatan itulah yang menjadikan karya-karya dalam 1.2 Milligrams terus relevan sehingga hari ini, melangkaui perubahan zaman dan cita rasa pendengar.

Sempena ulang tahun ke-30 album berkenaan, kumpulan itu akan mengadakan dua persembahan istimewa, bermula dengan showcase malam pada Sabtu, 8 Ogos 2026, diikuti showcase petang yang lebih intim pada Ahad, 9 Ogos 2026. Sepanjang persembahan tersebut, Butterfingers akan memainkan keseluruhan album 1.2 Milligrams, selain mempersembahkan beberapa rakaman demo yang tidak pernah dimainkan secara langsung sebelum ini.

Keputusan mengadakan dua showcase dibuat bagi memberi peluang kepada lebih ramai peminat untuk menikmati persembahan bersejarah itu. Butterfingers mahu menghimpunkan penyokong setia yang telah mengikuti perjalanan mereka sejak era 90-an, di samping membuka ruang kepada generasi baharu yang baru mengenali muzik mereka. Mereka juga berharap lagu-lagu daripada album ini dapat didengari dalam suasana yang lebih dekat, jujur dan tanpa sebarang batasan antara pemuzik dan penonton.

Selepas menjayakan produksi berskala besar seperti Transcendence 20, Malayneum 23 dan Peristiwa Angkasa Jio, Butterfingers mengakui mereka mula merindui suasana gig yang lebih kecil dan lebih dekat dengan peminat. Bagi mereka, pentas berskala sederhana mampu menghidupkan semula pengalaman awal ketika kumpulan itu mula membina nama sekitar tahun 1996, di mana hubungan antara pemuzik dan penonton terasa lebih intim dan autentik.

Pemilihan Odeon KL sebagai lokasi showcase juga mempunyai nilai sentimental yang tersendiri. Kawasan sekitar Kompleks Pertama pernah menjadi destinasi utama anak-anak muda mendapatkan kaset, menemui kugiran alternatif dan memulakan minat terhadap muzik rock sebelum era penstriman digital. Justeru, persembahan ini bukan sekadar berlangsung di sebuah dewan konsert, tetapi kembali ke lokasi yang pernah menjadi sebahagian daripada sejarah muzik tempatan dan perjalanan Butterfingers sendiri.

Vokalis Butterfingers, Emmett, berkata ulang tahun ke-30 album itu hanya hadir sekali dalam seumur hidup dan mereka mahu kedua-dua showcase tersebut mengembalikan suasana era 90-an. Menurutnya, tujuan mereka bukan untuk hidup dalam nostalgia, sebaliknya mengingatkan kembali bagaimana semuanya bermula melalui bunyi yang kuat, lagu-lagu yang jujur dan pengalaman menyanyi bersama para peminat. Beliau turut memaklumkan bahawa beberapa lagu demo yang jarang atau hampir tidak pernah dipersembahkan sebelum ini akan dimainkan buat pertama kali kerana ada karya yang lebih bermakna apabila tidak dipersembahkan berulang kali.

Sementara itu, pemain gitar dan komposer utama Butterfingers, Loque, menyifatkan sambutan itu sebagai penghargaan kepada album sulung yang menjadi titik permulaan perjalanan kumpulan tersebut. Katanya, ramai mengingati 1.2 Milligrams kerana bunyi distortion, feedback dan semangat memberontak yang sinonim dengan era berkenaan, namun di sebalik semua itu sentiasa wujud melodi yang menjadi kekuatan sebenar lagu-lagu mereka. Beliau berharap persembahan ini akan memberi peluang kepada peminat lama dan baharu untuk memahami mengapa album tersebut terus dekat di hati pendengar selama 30 tahun, sekali gus membuktikan bahawa kejujuran dalam menghasilkan muzik sentiasa mengatasi sebarang formula.