Selepas mencuri perhatian penonton menerusi program Oh Mummy sepanjang bulan Ramadan lalu, TV3 kini tampil dengan sebuah siri spin-off berjudul Oh Mummy!+ yang membawa pendekatan lebih segar, dekat dengan kehidupan serta sarat dengan nilai kekeluargaan. Program mini ini bakal menemui penonton bermula 5 Julai 2026, setiap hari Ahad pada jam 7.50 malam menerusi TV3 dan turut boleh distrim di Tonton.
Mengandungi lapan episod berdurasi 10 minit setiap satu, Oh Mummy!+ membawa penonton menyelami kehidupan sebenar penyanyi popular Wany Hasrita yang kini menggalas tanggungjawab sebagai seorang ibu kepada anak perempuannya, Aishah Al Iman. Program ini memaparkan pelbagai kisah yang dekat dengan realiti ramai ibu bapa moden, sekali gus menampilkan sisi Wany yang jarang dikongsikan kepada umum.
Antara fokus utama siri ini ialah cabaran yang dihadapi Wany dalam menjalani perkahwinan jarak jauh apabila suaminya bertugas di Sarawak. Dalam keadaan tersebut, beliau menguruskan kehidupan bersama anak di Semenanjung sambil meneruskan komitmen sebagai anak seni yang aktif dengan pelbagai jadual kerja.
Penonton bakal menyaksikan bagaimana Wany mengimbangi tanggungjawab sebagai ibu dan penyanyi, selain berkongsi rutin harian membesarkan Aishah. Daripada menguruskan keperluan harian, meluangkan masa berkualiti bersama anak hinggalah detik-detik mencuit hati yang berlaku secara spontan, semuanya dirakam secara jujur dan bersahaja.
Nama Wany Hasrita sememangnya tidak asing dalam industri muzik tanah air selepas lebih sedekad mencipta pelbagai kejayaan. Antara pencapaian terbesar beliau termasuk dinobatkan sebagai Bintang Paling Popular pada Anugerah Bintang Popular Berita Harian ke-31 pada tahun 2018, selain meraih tempat ketiga di Anugerah Juara Lagu ke-35 menerusi lagu duet bersama Datuk Jamal Abdillah berjudul Belenggu Rindu.
Selain dikenali sebagai penyanyi berbakat, Wany juga memiliki latar belakang akademik dalam bidang Sains Perubatan. Kini, kehidupannya memasuki fasa yang lebih bermakna apabila bergelar ibu, sekali gus menjadikan pengalaman membesarkan Aishah sebagai satu perjalanan penuh pembelajaran dan kasih sayang.
Menurut Wany, setiap detik bersama anak perempuannya merupakan kenangan yang sangat bernilai walaupun terpaksa melalui kehidupan berumah tangga secara jarak jauh. Beliau berharap perkongsian yang dipaparkan menerusi Oh Mummy!+ mampu memberikan inspirasi serta semangat kepada ibu-ibu lain yang sedang melalui situasi yang sama dalam mengimbangi keluarga dan kerjaya.
Melalui konsep yang santai dan penuh emosi, Oh Mummy!+ bukan sekadar memaparkan kehidupan seorang selebriti, malah mengangkat kisah sebenar seorang ibu moden yang sentiasa berusaha memberikan yang terbaik buat keluarga. Saksikan Oh Mummy!+ bermula 5 Julai 2026, setiap hari Ahad jam 7.50 malam di TV3 serta boleh distrim pada bila-bila masa menerusi platform Tonton.








