
Penyanyi kelahiran Sabah, Sabhi Sadhi, kembali mewarnai industri muzik tempatan dengan single terbaharu berjudul ROMANSA, sebuah karya yang mengetengahkan tema cinta, kebahagiaan dan penghargaan terhadap hubungan yang dibina atas dasar kesetiaan serta pengorbanan.
Menurut Sabhi, penghasilan lagu tersebut bukanlah sesuatu yang dilakukan secara tergesa-gesa. Beliau mengakui sentiasa berhati-hati dalam memilih karya kerana mahu setiap lagu yang diterbitkan benar-benar mencerminkan identiti serta prinsip muzik yang dipegangnya.
Katanya, beliau lebih mengutamakan mesej positif dalam setiap karya kerana percaya muzik mempunyai pengaruh besar terhadap emosi dan pemikiran pendengar. Justeru, setiap lagu yang dihasilkan perlu membawa nilai yang baik dan mampu memberi inspirasi kepada masyarakat.

Selepas kejayaan besar Cinta Sesungguhnya, Sabhi mengakui dirinya sentiasa meletakkan penanda aras yang tinggi untuk setiap karya baharu. Namun, beliau tidak melihat karya orang lain sebagai ukuran, sebaliknya berusaha menghasilkan lagu yang lebih baik daripada karya-karya terdahulu.
Menariknya, Sabhi tidak kisah jika dilabel sebagai penyanyi lagu perkahwinan kerana baginya, peluang untuk menjadi sebahagian daripada momen istimewa pasangan yang mendirikan rumah tangga merupakan satu penghargaan yang besar.
Lagu ROMANSA merupakan hasil kerjasama Sabhi bersama komposer Farouk Roman dan penulis lirik Senna. Dengan melodi romantis serta lirik yang menyentuh perasaan, lagu ini mengisahkan perjalanan cinta dua insan yang diuji pelbagai cabaran sebelum akhirnya kembali bersatu.
Lebih istimewa, Sabhi turut menggalas tanggungjawab sebagai pengarah muzik video yang menampilkan penceritaan dramatik mengenai perjalanan cinta, perpisahan dan penyatuan semula dalam ikatan perkahwinan.
Diterbitkan oleh AJ Productions, ROMANSA kini boleh didengari menerusi semua platform penstriman digital utama termasuk Spotify, Apple Music dan YouTube Music.









