Sambutan hangat di Kuantan City Mall menjadi pembuka tirai yang berjaya bagi siri AJL40 Meet & Greet Yang Ke-40 apabila peminat membanjiri lokasi tersebut pada 20 Jun lalu bagi bertemu secara dekat barisan finalis Anugerah Juara Lagu 40. Acara ini bukan sahaja mencipta suasana meriah, malah menjadi simbol sambutan 40 tahun revolusi muzik Malaysia yang terus dekat di hati peminat.
Menerusi konsep khas yang membawa finalis keluar dari pentas utama, AJL40 Meet & Greet memberi peluang kepada peminat untuk berinteraksi secara lebih peribadi melalui sesi ramah mesra, fotografi dan aktiviti interaktif. Pendekatan ini menjadikan pengalaman AJL40 lebih inklusif dan dekat dengan masyarakat, selari dengan usaha meraikan legasi muzik tanah air.
Selepas kejayaan di Kuantan, siri jelajah ini kini diteruskan ke Johor Bahru sebagai hentian seterusnya. Acara seterusnya akan berlangsung pada 18 Julai 2026 di Angsana Mall Johor Bahru, di mana peminat di selatan tanah air berpeluang bertemu sendiri finalis AJL40 dalam suasana yang lebih dekat dan eksklusif.

Penganjuran Meet & Greet ini turut mendapat sokongan daripada McDonald’s Malaysia dan Ronald McDonald House Charities (RMHC) Malaysia, dengan Volvo sebagai rakan bersama. Kolaborasi ini bukan sahaja memperkukuhkan pengalaman acara, malah menambah nilai kepada inisiatif yang menggabungkan hiburan, komuniti dan tanggungjawab sosial.
Dengan sambutan yang semakin hangat dari satu lokasi ke lokasi lain, AJL40 Meet & Greet terus menjadi platform istimewa yang menghubungkan peminat dengan artis kegemaran mereka, sambil menyemarakkan lagi perjalanan menuju malam kemuncak Anugerah Juara Lagu 40.











