
Penyanyi muda yang semakin mendapat perhatian, Boboy, kembali mempertaruhkan karya baharu berjudul Tanpa Ada Kepastian, sebuah lagu balada yang sarat dengan emosi dan menyentuh realiti hubungan yang tidak mempunyai arah tuju yang jelas. Lagu ini mengisahkan perasaan seseorang yang terus berharap dalam sebuah hubungan walaupun menyedari tiada jaminan tentang masa depannya.
Menurut Boboy, pemilihan lagu tersebut dibuat kerana jalan ceritanya sangat dekat dengan pengalaman ramai individu pada masa kini, khususnya mereka yang pernah berdepan hubungan tanpa status dan kejelasan. Lebih bermakna, kisah yang diketengahkan turut mempunyai kaitan dengan pengalaman peribadinya sendiri, sekali gus menjadikan penyampaian emosi dalam lagu ini lebih jujur dan tulus.

Lagu ciptaan Ilham Baso itu lahir daripada pemerhatian terhadap realiti kehidupan yang sering memperlihatkan individu bertahan dalam hubungan yang tidak pasti. Inspirasi tersebut kemudiannya diterjemahkan ke dalam lirik dan melodi yang menggambarkan rasa kecewa, penat dan pasrah dengan cukup mendalam.
Mengangkat genre balada sebagai tunjang utama, Tanpa Ada Kepastian dihasilkan bagi membolehkan setiap emosi yang terkandung dalam lagu disampaikan secara lebih berkesan kepada pendengar. Gabungan vokal lembut Boboy dan susunan muzik yang menyentuh hati menjadikan karya ini mudah dihayati.









