Ramli Sarip Dan Ziana Zain Sertai Konsert Homecoming Edisi 60 Permata Biru Ella

KUALA LUMPUR, 16 Jun 2026 – Hitman Solutions dan Rockqueen hari ini mengumumkan bahawa konsert “Majlis Tertinggi Rockqueen Ella: Homecoming Edisi 60 Permata Biru” akan berlangsung pada 22 Ogos 2026 di Setia SPICE Arena, Pulau Pinang. Perubahan lokasi dan tarikh ini dibuat bagi memberikan pengalaman yang lebih selesa, berkualiti dan berkesan kepada para peminat yang bakal hadir meraikan kepulangan Ella ke negeri kelahirannya.

Keputusan tersebut dicapai selepas perbincangan menyeluruh melibatkan pihak penganjur, pasukan produksi serta Ella sendiri. Semua pihak bersetuju bahawa pemindahan ke Setia SPICE Arena mampu meningkatkan aspek keselesaan, aksesibiliti, kualiti produksi serta pengalaman keseluruhan penonton tanpa menjejaskan semangat dan makna istimewa konsert berkenaan.

Pemilihan Setia SPICE Arena dibuat kerana susun atur venue yang membolehkan peminat berada lebih dekat dengan pentas, selain menawarkan sistem akustik yang lebih baik dan suasana yang lebih imersif. Sebagai sebuah venue tertutup, ia juga memberikan perlindungan daripada faktor cuaca yang tidak menentu seperti hujan lebat dan ribut, sekali gus memastikan pengalaman menonton yang lebih lancar dan menyeronokkan.

Venue ikonik itu turut mempunyai nilai sentimental tersendiri dalam perjalanan kerjaya Ella. Sebelum ini, Setia SPICE Arena pernah menjadi lokasi konsert “Jilid Akhir: Ella Puteri Kota” yang berjaya menarik lebih 14,000 penonton, menjadikannya lokasi yang sesuai untuk satu lagi detik bersejarah dalam perjalanan seni Rockqueen negara itu.

Menurut pihak penganjur, keputusan berpindah ke Setia SPICE Arena turut dipengaruhi oleh maklum balas luar biasa daripada para peminat yang ingin mengulangi pengalaman hebat ketika menghadiri konsert Ella di Pulau Pinang sebelum ini. Justeru, perubahan ini dilihat sebagai satu peningkatan yang menambah nilai kepada keseluruhan pengalaman konsert sambil mengekalkan visi asal Homecoming Edisi 60 Permata Biru yang meraikan ulang tahun ke-60 Ella serta legasi luar biasanya dalam industri muzik tanah air.

Walaupun pihak penganjur pada asalnya berhasrat mengekalkan tarikh asal pada 25 Julai 2026, kekangan jadual dan ketersediaan venue menjadikan 22 Ogos 2026 sebagai pilihan paling sesuai untuk merealisasikan konsert berkenaan di Setia SPICE Arena.

Dalam perkembangan sama, pihak penganjur mengesahkan bahawa harga tiket kekal tidak berubah. Semua pemegang tiket sedia ada akan diberikan tempat duduk baharu yang setara nilainya di Setia SPICE Arena tanpa sebarang caj tambahan. Maklumat lanjut mengenai proses penempatan semula tempat duduk akan dimaklumkan kepada pembeli tiket dalam masa terdekat.

Meneruskan semangat kempen Peace, Love & Rindu, sebanyak RM2 daripada setiap tiket yang dijual akan disalurkan kepada organisasi kebajikan terpilih mengikut pilihan pembeli tiket. Sumbangan bagi kategori Peace akan diberikan kepada Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM) Pulau Pinang, kategori Love kepada Yayasan Kebajikan Negara (YKN), manakala kategori Rindu akan disalurkan kepada Yayasan Kebajikan Artis Tanahair.

Menambah kemeriahan konsert tersebut, dua ikon muzik tanah air iaitu Ramli Sarip dan Ziana Zain telah disahkan sebagai artis jemputan khas. Beberapa lagi nama artis jemputan sedang dimuktamadkan dan akan diumumkan dalam masa terdekat.

Bersempena tema rasmi konsert “Glam 90s Rock : Battle Of The Bands”, para peminat turut digalakkan menggayakan fesyen era rock 90-an yang sinonim dengan perjalanan awal kerjaya Ella. Jaket denim, seluar jeans, jaket kulit dan but kulit antara elemen fesyen yang digalakkan sebagai penghormatan kepada era glam dan grunge yang pernah mewarnai industri muzik rock Malaysia, khususnya imej ikonik Ella & The Boys.

Mengulas mengenai perubahan tersebut, Ella menyambut baik keputusan yang dibuat dan menegaskan bahawa keutamaannya sentiasa tertumpu kepada pengalaman peminat. Menurut beliau, kepulangannya ke Pulau Pinang tetap akan berlangsung seperti dirancang dan beliau amat teruja untuk kembali bertemu serta menghiburkan peminat di wilayah utara yang sentiasa menyokong perjalanan seninya sejak dahulu.

Sementara itu, Ketua Projek Khas Hitman Solutions, Keeran D berkata pihaknya yakin perubahan lokasi dan tarikh ini mampu memberikan pengalaman yang lebih hebat kepada para penonton. Beliau percaya Setia SPICE Arena menawarkan persekitaran yang lebih sesuai untuk merealisasikan produksi bertaraf tinggi yang selayaknya menggambarkan status Ella sebagai satu-satunya Rockqueen Malaysia.

Pihak penganjur turut merakamkan penghargaan kepada Era FM, Sinar FM, Mix FM dan Lite FM sebagai rakan radio rasmi, manakala Astro Gempak bertindak sebagai rakan media digital rasmi bagi konsert berkenaan.

Untuk maklumat lanjut dan pembelian tiket, orang ramai boleh melayari laman web Hitman Live serta mengikuti saluran media sosial rasmi Hitman Solutions bagi mendapatkan perkembangan terkini mengenai konsert yang dinanti-nantikan itu.