Kia Sales Malaysia secara rasmi mengesahkan kehadiran mereka di Pameran Mobiliti Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIMS) 2026, sekali gus menjanjikan satu pengalaman pameran luar biasa buat para peminat automotif tanah air. Membawa tema global ‘Bold & Progressive’, jenama gergasi dari Korea Selatan ini sedia menggegarkan Pusat Perdagangan dan Pameran Antarabangsa Malaysia (MITEC) bermula 12 hingga 21 Jun 2026 dengan barisan jentera masa hadapan serta strategi pemilikan yang bakal mengubah landskap pasaran tempatan.
Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Kia Sales Malaysia, Hyung Ho Kim, menyatakan bahawa penyertaan kali ini merupakan satu batu aras penting dalam memperlihatkan visi antarabangsa Kia yang berani. Menurut beliau, pengenalan model-model global terbaharu ini merupakan bukti komitmen padu syarikat dalam menyediakan penyelesaian mobiliti inovatif yang bukan sahaja canggih, malah mampu memenuhi keperluan dinamik pengguna di Malaysia yang sentiasa berkembang.

Langkah agresif Kia di KLIMS 2026 diterjemahkan menerusi penampilan sulung sedan sporty Kia K4 spesifikasi GT-Line. Membawa bahasa reka bentuk ‘Opposites United’, jentera ini mengujakan pasaran dengan enjin 1.6L TGD i berkuasa 193 PS yang dipadankan dengan ruang kabin futuristik. Papan pemukanya didominasi oleh Integrated Panoramic Display yang menggabungkan tiga skrin digital termasuk skrin infotainmen 12.3 inci bersambungan Apple CarPlay dan Android Auto tanpa wayar, menetapkan standard baharu dalam segmen sedan moden.
Bukan itu sahaja, ruang pameran Kia turut mempamerkan tritunggal elektrifikasi masa depan mereka yang terdiri daripada model EV4, EV5, dan PV5. Kia EV4 hadir mengejutkan industri sebagai sedan elektrik digital berasaskan platform E-GMP yang menawarkan jarak pemanduan sehingga 612 km serta keupayaan pengecasan pantas DC dari 10 ke 80 peratus dalam masa hanya 29 minit. Di samping itu, SUV keluarga lestari Kia EV5 turut membuat kemunculan dengan janaan kuasa sehingga 230 kW, manakala model utiliti masa depan Kia PV5 Passenger memamerkan fleksibiliti Platform Beyond Vehicle (PBV) yang baru-baru ini diiktiraf sebagai MPV of the Year di What Car? Awards 2026.

Bagi memastikan pengalaman pameran yang benar-benar luar biasa, Pavilion Kia turut disuntik dengan elemen gaya hidup imersif dan interaktif. Pengunjung bukan sahaja boleh melakukan sesi pandu uji model ikonik sedia ada seperti Kia Carnival dan Kia Sportage, malah boleh menyertai zon permainan interaktif bertemakan FIFA World Cup 2026. Menambah keunikan ruang pameran, Kia menjalinkan kerjasama dengan Korea Tourism Organization (KTO) untuk paparan neo-budaya Korea serta membawakan persembahan seni visual berasaskan kecerdasan buatan (AI) hasil karya artis digital terkenal tempatan, Max Jala.
Di sebalik kebanjiran teknologi dan model baharu, kejutan terbesar Kia buat pengguna di Malaysia adalah pengenalan Program Kia TotalCare. Diiktiraf sebagai janji pemilikan paling berani oleh jenama ini, program yang bermula sejak 1 Jun lalu mencerminkan keyakinan mutlak Kia terhadap kualiti produk mereka. Pengarah Urusan Kia Sales Malaysia, Emily Lek, menegaskan bahawa program ini direka khusus untuk memberikan ketenangan minda yang maksimum serta nilai jangka panjang melebihi tempoh lima tahun yang lazim ditawarkan di pasaran.

Menerusi program Kia TotalCare, pelanggan yang membuat tempahan mana-mana varian Kia Sportage atau Kia Carnival (7 & 8 tempat duduk) sepanjang tempoh kempen dari 1 hingga 22 Jun 2026 bakal menikmati pakej perlindungan serampang ‘8-Tahun’. Pakej eksklusif ini menawarkan waranti selama 8 tahun atau 240,000 km, 8 tahun servis percuma, set 8 tayar percuma, rebat tunai RM8,000, serta perlindungan insurans percuma untuk tahun pertama.
Sebagai nilai tambah, sebarang tempahan model Kia dalam tempoh ini turut membuka peluang ganjaran kepada pembeli untuk memenangi cabutan bertuah berupa pakej percutian ke Seoul, Korea Selatan atau memenangi telefon pintar mercu Samsung Galaxy S26 Ultra 1TB. Pengesahan kehadiran Kia di KLIMS 2026 dengan konsep ‘Bold & Progressive’ ini dengan jelas membuktikan bahawa mereka tidak lagi sekadar mahu mempamerkan kenderaan, tetapi sedia menerajui evolusi mobiliti total di Malaysia.










