Papuh Anjur ‘Muslim Travel Fair 2026’, Perkasa Pelancongan Islam dan Tingkatkan Kesedaran Pengguna

Persatuan Agensi Pelancongan Umrah dan Haji Malaysia (PAPUH) bakal menganjurkan Karnival Pelancongan Islam PAPUH Muslim Travel Fair 2026 pada 31 Julai hingga 2 Ogos 2026 di Kompleks PKNS Shah Alam sebagai usaha memperkukuhkan industri pelancongan Islam dan meningkatkan kesedaran pengguna terhadap kepentingan memilih perkhidmatan pelancongan yang sah, berlesen dan berdaftar.

Penganjuran karnival ini hadir ketika pelbagai kes penipuan pakej pelancongan dan umrah terus dilaporkan, menyebabkan ramai pengguna mengalami kerugian kewangan serta gagal merealisasikan hasrat untuk menunaikan ibadah dan melancong dengan selamat. Selain menawarkan pelbagai pakej umrah, haji serta pelancongan domestik dan antarabangsa, karnival ini turut menampilkan sesi perkongsian ilmu, konsultasi pelancongan, promosi eksklusif dan pelbagai aktiviti yang membantu pengguna memahami hak mereka sebagai pelanggan.

Majlis pelancaran dan sidang media telah disempurnakan oleh Presiden PAPUH merangkap Pengerusi Karnival, Dato’ Sri Haji Razali Mohd Sham, bersama Naib Presiden PAPUH (Kebajikan & Keusahawanan) merangkap Timbalan Pengerusi Karnival, Tuan Haji Muhammad Mursyid Abu Hassan serta Pengurus Besar PAPUH Sdn. Bhd. merangkap Ketua Sekretariat Karnival, Encik Hafeezuddin Abdul Razak.

Menurut Dato’ Sri Haji Razali, karnival ini bukan sekadar platform jualan tetapi berfungsi sebagai medium pendidikan pengguna supaya lebih berhati-hati dalam memilih agensi pelancongan yang sah dan berlesen. Beliau turut mengingatkan orang ramai supaya tidak mudah terpedaya dengan tawaran pakej yang terlalu murah dan tidak munasabah memandangkan kos operasi industri pelancongan terus meningkat melibatkan hotel, tiket penerbangan, bahan api dan kos berkaitan lain.

Karnival ini turut bertujuan memperkukuhkan ekosistem pelancongan Islam dan pelancongan mesra Muslim di Malaysia melalui penglibatan pelbagai pemain industri termasuk agensi pelancongan, pengendali umrah dan haji, syarikat penerbangan, pengusaha hotel, institusi kewangan Islam serta penyedia teknologi pelancongan. Sepanjang tiga hari penganjuran, pengunjung berpeluang menikmati pelbagai promosi istimewa, menghadiri forum industri, sesi perkongsian ilmu serta menyertai aktiviti interaktif yang disediakan oleh para peserta pameran.

Karnival ini turut berperanan sebagai pusat sehenti industri pelancongan Islam dengan penglibatan pelbagai agensi kerajaan, syarikat penerbangan, institusi kewangan Islam dan syarikat swasta. Pengunjung boleh mendapatkan maklumat berkaitan pelancongan mesra Muslim, pakej umrah dan haji, perlindungan takaful, kemudahan pembiayaan serta pelbagai khidmat nasihat industri di bawah satu bumbung.

PAPUH menyasarkan penyertaan lebih 100 syarikat dan organisasi serta kehadiran ribuan pengunjung dari seluruh negara. Karnival ini dijangka menarik bakal jemaah umrah dan haji, keluarga Muslim, profesional, penjawat awam, usahawan, pelajar serta masyarakat umum yang berminat mendapatkan maklumat berkaitan pelancongan Islam. Selain menjadi platform pengguna, karnival ini juga membuka peluang jaringan perniagaan kepada syarikat pelancongan, syarikat penerbangan, institusi kewangan Islam, pengusaha hotel dan rakan strategik industri.

Berbeza daripada edisi terdahulu yang diadakan di Hotel Grand Barakah, Ampang, PAPUH kali ini memperkenalkan konsep “Travel Fair Dalam Pusat Membeli-Belah” di Kompleks PKNS Shah Alam. Pendekatan ini memudahkan orang ramai mendapatkan maklumat dan khidmat konsultasi pelancongan dalam suasana yang lebih santai dan mesra pengguna.

Shah Alam menjadi lokasi pertama bagi siri jelajah nasional PAPUH Muslim Travel Fair Roadshow yang akan diteruskan ke Johor, Melaka, Perak, Kedah, Kelantan, Pahang, Terengganu, Sabah dan Sarawak. Menurut PAPUH, pendekatan ini akan membantu memperluaskan capaian industri pelancongan Islam, meningkatkan interaksi antara pemain industri dan pengguna serta memudahkan masyarakat mendapatkan maklumat terkini berkaitan umrah, haji dan pelancongan Islam.