Tidak semua luka terlihat, dan tidak semua cerita ingin dibagikan kepada dunia. Namun Sembilan Tera memilih untuk tidak lagi menyembunyikan apa yang mereka rasakan. Di tengah arus musik yang sering mengejar kesempurnaan bunyi dan imej yang indah, band ini hadir dengan sesuatu yang jauh lebih mentah, gelap dan jujur.
Sembilan Tera bukan sekadar nama baru dalam industri muzik. Terbentuk di Bandung pada Jun 2025, mereka hadir daripada sekumpulan pemuzik yang sebelum ini lebih banyak berada di belakang karya orang lain. Kini mereka memilih untuk berdiri sebagai suara sendiri, meskipun itu bermakna perlu membuka kembali luka yang belum sepenuhnya sembuh.

Ahli kumpulan ini terdiri daripada Arie Axara sebagai drummer dan penulis lagu, Aditya pada gitar, Ricky pada bass, Eza sebagai vokalis, Angga pada trombone, dan Taufik pada keyboard. Setiap daripada mereka membawa pengalaman tersendiri, namun berkongsi satu perkara yang sama iaitu keinginan untuk jujur melalui muzik tanpa perlu berpura-pura.
Mini album sulung mereka yang berjudul “Sementara Itu” mengangkat tema fasa kehidupan yang penuh ketidakpastian. Ia berkisah tentang saat seseorang tidak tahu sama ada perlu terus bertahan atau melepaskan, tidak pasti sama ada harus terus berharap atau berhenti percaya. Ia adalah ruang di antara keputusan yang tidak pernah mudah.
Album ini memuatkan lima buah lagu iaitu Luruh, Pergi, Akhir Cerita, Jujur Pada Luka dan Sementara Itu. Kesemua lagu ini ditulis oleh Arie Axara yang merangkai setiap keresahan menjadi lirik yang dekat dengan realiti, walaupun kadangkala tidak selesa untuk didengar. Namun di situlah kejujurannya terletak.
Berangkat dari pengalaman bermain di pentas kafe, Sembilan Tera sering melihat bagaimana manusia cuba menyembunyikan emosi sebenar di sebalik wajah yang tenang. Dari situ mereka sedar bahawa tidak semua orang benar-benar baik-baik saja, hanya saja tidak semua mampu untuk bercerita. Kini mereka memilih untuk menyuarakan apa yang sering dipendam itu melalui muzik.
“Sementara Itu” tidak menawarkan jawapan atau akhir yang bahagia secara paksa. Sebaliknya, ia hadir sebagai pengakuan bahawa tidak semua perkara dalam hidup akan selesai dengan sempurna. Kadang-kadang, yang paling menyakitkan bukanlah kehilangan, tetapi berpura-pura tidak merasakan apa-apa.













