Penyanyi dan pencipta kandungan, Mindy Sabrina, secara rasmi memulakan fasa baharu dalam perjalanan seninya dengan melancarkan single sulung berjudul SHE DEVIL. Tampil berbeza daripada imej Jazz dan Japanese City Pop yang pernah dibawakannya sebelum ini, Mindy kini muncul dengan persona yang lebih gelap, menggoda, dan teaterikal.
Lagu ini bukan sekadar sebuah naskhah tentang godaan, malah ia merupakan satu manifesto terhadap kekuatan wanita yang terinspirasi daripada literatur romantis gelap dan filem klasik seperti Bram Stoker’s Dracula. Mindy menjelaskan bahawa pemilihan tajuk tersebut adalah untuk meraikan identiti wanita yang sering dilabel sebagai punca godaan, di mana dia memilih untuk memeluk label tersebut dan mengubahnya menjadi satu bentuk kuasa serta keintiman yang jujur.

Proses penghasilan lagu ini merupakan satu cabaran peribadi yang menyaksikan kolaborasi Mindy bersama penerbit JVSAN bagi menghasilkan rentak yang berat dan atmosfera. Gabungan kreatif ini turut melibatkan sentuhan Mas Adi menerusi solo gitar yang diinspirasikan oleh elemen alternative metal, serta penglibatan pelakon suara profesional, Billy, bagi memberikan narasi yang mendalam pada bahagian intro dan outro.
Keseluruhan kualiti audio yang megah ini kemudiannya disempurnakan oleh Ecang menerusi proses adunan dan mastering yang teliti berdasarkan gerak hati seni Mindy sendiri.
Kekuatan visual single ini turut dizahirkan menerusi muzik video arahan videografer Yusuf yang menggunakan estetika sinema tahun 1980-an dengan rona merah yang tajam.

Konsep visualnya yang mengambil inspirasi daripada pementasan teater Dracula tahun 1920 memaparkan babak simbolik seperti tarian waltz dan penggunaan pedang asli bagi memperkukuh aura feminin yang gelap. Walaupun SHE DEVIL merupakan perubahan drastik dalam gaya muziknya, Mindy menyifatkan karya ini sebagai identiti sejatinya yang menggabungkan minat terhadap muzik metal dan chants klasik.
Beliau kini sedang dalam perancangan untuk menghasilkan album penuh dan menyeru peminat untuk menonton muzik video SHE DEVIL yang kini sudah tersedia di YouTube serta semua platform penstriman digital.