Astro Perkenal Musim Kedua Talk To My Manager Bersama Barisan Selebriti Popular

Astro kembali menghangatkan industri hiburan tempatan dengan musim baharu program realiti popular, Talk To My Manager. Selepas kejayaan musim pertama yang mendapat sambutan luar biasa daripada penonton, musim kedua tampil dengan skala lebih besar, penyertaan lebih ramai selebriti, serta konsep yang terus menyentuh emosi dan menghiburkan.

Program ini bukan sekadar pertandingan biasa, sebaliknya menjadi pentas yang meraikan legasi, bakat dan hubungan kekeluargaan antara selebriti dan anak-anak mereka. Konsep unik “pass-the-baton” terus dikekalkan, di mana selebriti bertindak sebagai pengurus kepada anak masing-masing yang tampil sebagai artis. Setiap persembahan bukan sahaja dinilai dari segi hiburan, tetapi juga menonjolkan kepercayaan, bimbingan dan keserasian antara dua generasi ini.

Musim kedua bakal menampilkan barisan peserta yang lebih pelbagai, termasuk pasangan seperti Adira dan Anggrek, Ani Maiyuni dan Viviana, Dato A. Aida dan Azeva, Dato’ Fazley dan Fariedz Fazley, Dato’ Sri Vida dan Cik B, Jamilulhayat dan Hussain, Linda Jasmine dan Ratu, Nana Mahazan dan Althea, Pak Azad dan Amarra serta Safura dan Kim Khairii.

Pengacara terkenal Datuk Aznil Hj Nawawi kembali mengemudi rancangan ini, bersama dua juri tetap iaitu Che Puan Sarimah dan Dato’ AC Mizal yang akan memberikan penilaian profesional sepanjang pertandingan berlangsung. Format pemarkahan kekal dengan 100 peratus penjurian oleh juri, dibahagikan kepada 60 peratus untuk kecekapan pengurusan dan strategi “manager”, manakala 40 peratus lagi berdasarkan kualiti persembahan dan vokal artis.

Talk To My Manager Musim 2 akan mula bersiaran pada 19 April 2026, setiap Ahad jam 9 malam di Astro Ria dan berlangsung selama lapan minggu secara langsung dari Auditorium MBSA Shah Alam. Penonton juga boleh menonton secara strim melalui Astro GO dan sooka.

Selain konsert utama, penonton turut disajikan dengan kandungan tambahan seperti Studio Talk To My Manager yang menampilkan rakaman belakang tabir serta suasana di pentas, dan BTS Talk To My Manager yang memaparkan persediaan peserta termasuk latihan vokal, kelas tarian dan pengurusan persembahan.

Menariknya, Astro turut memperkenalkan inisiatif baharu dikenali sebagai TTMM Experience, sebuah kem eksklusif selama dua hari satu malam yang membuka peluang kepada ibu bapa dan anak-anak untuk merasai pengalaman sebenar dunia hiburan. Kem ini menawarkan latihan dan bengkel yang sebelum ini hanya diberikan kepada peserta program, kini dibuka kepada orang ramai.

Sepanjang kem berlangsung, peserta akan dibimbing oleh selebriti terkenal, mentor profesional serta pakar industri melalui pelbagai aktiviti interaktif yang memberi fokus kepada kemahiran persembahan, nyanyian dan keyakinan diri. Inisiatif ini dilihat sebagai platform penting dalam mencungkil bakat baharu dan melahirkan generasi bintang masa hadapan.

Dari segi ganjaran, juara akan membawa pulang wang tunai RM30,000, manakala naib juara menerima RM15,000 dan tempat ketiga RM10,000. Program ini turut disokong oleh Eskayvie sebagai penaja utama, bersama Astro Gempak sebagai rakan digital dan ERA sebagai rakan radio rasmi.

Dengan gabungan elemen kekeluargaan, hiburan dan pembangunan bakat, musim kedua Talk To My Manager dijangka terus mencuri perhatian penonton dan mengukuhkan kedudukannya sebagai antara program realiti tempatan yang paling dinanti-nantikan.