
Penyanyi dengan vokal bertenaga dan penuh emosi, Hazama, kembali memeriahkan suasana Aidilfitri menerusi pelancaran single Raya terbaharunya berjudul “Maaf Terpendam”. Menariknya, lagu ini merupakan karya Raya solo pertama sepanjang perjalanan karier seninya. Diterbitkan oleh Sony Music Entertainment Malaysia, lagu ini mengetengahkan elemen Pop Melayu yang segar, hasil ciptaan Tam Spider bersama lirik puitis oleh Keon.
Mengangkat tema kemaafan dan keinsafan, “Maaf Terpendam” membawa pendengar menyelami emosi yang sering dipendam dalam hubungan sesama manusia. Lebih-lebih lagi ketika Syawal, yang menjadi waktu terbaik untuk memperbaiki hubungan dan mengeratkan kembali silaturahim yang mungkin pernah terputus. Menurut Hazama, lagu ini menyampaikan mesej tentang keberanian untuk mengetepikan ego demi memperbaiki hubungan yang telah retak.
“Ramai antara kita memilih untuk berdiam diri apabila berlaku perselisihan, sama ada dengan rakan mahupun ahli keluarga. Namun hakikatnya, diam tidak menyelesaikan apa-apa. Ambillah peluang ini untuk membuang ego kerana kemaafan adalah kunci untuk menjernihkan semula hubungan,” jelasnya. Tambahnya lagi, lagu ini juga menjadi peringatan buat dirinya sendiri. “Sebagai manusia biasa, saya juga tidak terlepas daripada melakukan kesilapan. Kadang-kadang kita terlupa untuk memohon maaf. Hari Raya bukan sekadar sambutan, tetapi masa untuk bermuhasabah, memaafkan, dan mengakui kesalahan dengan rendah hati,” katanya.
Lebih-lebih lagi, lagu ini berjaya menyatukan tiga figura seni yang sudah lama serasi dalam industri muzik. Bagi Hazama, kepercayaan terhadap Tam Spider dan Keon memainkan peranan penting dalam menjayakan lagu ini. “Karya ini sangat istimewa buat saya kerana ia lagu Raya solo pertama. Saya beri sepenuh kepercayaan kepada Abang Tam dan Abang Keon kerana keserasian yang sudah lama terjalin,” ujarnya.
Keunikan lagu ini, menurut Hazama, terletak pada pendekatannya yang tidak terlalu mengikut trend muzik Raya semasa. Sebaliknya, ia mengekalkan identiti Pop Melayu yang lebih dekat dengan jiwa pendengar. “Kami memilih untuk tidak terlalu mengikut arus muzik moden. Elemen Pop Melayu yang kuat menjadikan lagu ini kedengaran lebih ‘evergreen’ dan beridentiti,” jelasnya. Gabungan melodi klasik ciptaan Tam Spider bersama lirik puitis oleh Keon turut menjadikan lagu ini bukan sahaja enak didengar, malah sarat dengan emosi dan makna.
Dari segi rakaman, Hazama menekankan bahawa cabaran utama bukan sekadar teknik vokal, tetapi bagaimana untuk benar-benar menyampaikan emosi dalam setiap bait lirik. “Saya mahu setiap lirik dirasai, bukan sekadar dinyanyikan. Untuk menyentuh hati pendengar, saya perlu terlebih dahulu menyentuh hati saya sendiri,” katanya.
Hazama berharap “Maaf Terpendam” dapat menjadi lagu yang menemani masyarakat sepanjang Aidilfitri, selain menyampaikan mesej tentang kepentingan kemaafan. “Saya harap lagu ini bukan sekadar hiburan, tetapi mampu memberi inspirasi kepada sesiapa sahaja yang ingin berdamai dengan insan tersayang. Jika ia dapat merapatkan hubungan yang terputus, itu sudah cukup bermakna bagi saya,” katanya.
Beliau turut berpesan agar masyarakat menghargai orang sekeliling dan tidak membiarkan ego menghalang kebahagiaan. “Belajarlah menjadi pemaaf dan berani mengakui kesilapan. Semoga kita semua merasakan bahawa kemaafan itu adalah kebebasan jiwa. Selamat Hari Raya Aidilfitri, maaf zahir dan batin,” tambahnya.
Single Raya “Maaf Terpendam” kini boleh distrim di semua platform digital utama seperti Apple Music, Spotify dan YouTube. Dengan gabungan melodi klasik, sentuhan Pop Melayu dan lirik yang penuh makna, lagu ini mengajak pendengar menghayati nilai kemaafan dan keinsafan sepanjang Syawal.












