Cinta pertama mungkin tidak pernah benar-benar hilang, ia cuma menunggu saat untuk melukai semula.” Itulah premis yang menjadi tunjang kepada Khianat Yang Terpilih, terbitan Mache Allstar dan arahan Ejump Mohd, sebuah naskhah yang mengangkat gelora cinta terlarang serta persoalan paling getir apabila kenangan lama kembali menyala dan perasaan yang pernah terpadam hadir semula tanpa diduga. Drama 30 episod ini dibintangi Ben Amir, Amyra Rosli, Ikmal Amry, Puteri Aishah, Ainina Ahmad dan Erin CTJ, dan bakal menemui penonton bermula 26 Februari 2026, setiap Isnin hingga Jumaat, jam 6.58 petang di slot Akasia TV3.
Kisah ini berputik daripada cinta pertama antara Ali lakonan Ben Amir dan Asmida yang dibawakan oleh Puteri Aishah, yang terhenti sejak zaman universiti sebelum kembali bersemi apabila masing-masing telah membina kehidupan sendiri. Ali kini bergelar suami kepada Waheeda, watak yang dilakonkan Amyra Rosli, serta bapa kepada Afeeya, seorang anak yang mengalami kelewatan pertuturan. Pada masa yang sama, Asmida pula terperangkap dalam perkahwinan yang tidak sehaluan bersama Fahim lakonan Ikmal Amry.
Takdir menemukan mereka kembali apabila Ali mengambil tanggungjawab menjaga Afeeya dan mendaftarkannya di sekolah tempat Asmida mengajar. Pertemuan yang pada awalnya kelihatan biasa itu tanpa disedari membuka kembali lembaran lama yang belum tertutup sepenuhnya. Perasaan yang pernah disimpan rapi mula mengusik jiwa, mencetuskan konflik dalaman dan pergolakan emosi yang sukar dikawal.
Di sinilah kesetiaan dan tanggungjawab mula diuji. Setiap langkah yang diambil membawa risiko, manakala setiap keputusan hadir bersama harga yang perlu dibayar. Peluang kedua mungkin kelihatan indah, namun tidak semua yang kembali menjanjikan kebahagiaan, ada yang sekadar merumitkan keadaan dan melukakan lebih ramai hati.

Menurut Ben Amir, watak Ali merupakan karakter yang kompleks kerana dia perlu mengimbangi tanggungjawab sebagai suami dan bapa dengan godaan nostalgia cinta pertama. Membawakan watak tersebut memberinya pemahaman tentang konflik dalaman, penyesalan dan bagaimana satu keputusan mampu memberi kesan bukan sahaja kepada diri sendiri, malah kepada semua yang berada di sekeliling.
Sarat dengan konflik, pengkhianatan dan penyesalan, Khianat Yang Terpilih menyelami dilema hati, runtuhnya kepercayaan serta impak mendalam terhadap institusi perkahwinan dan kehidupan setiap watak. Saksikan drama ini bermula 26 Februari 2026, setiap Isnin hingga Jumaat, jam 6.58 petang di slot Akasia TV3. Penonton juga boleh menonton episod baharu secara eksklusif di iQIYI satu jam selepas siaran di TV3 menerusi laman web atau aplikasi iQIYI di Google Play dan App Store.
Untuk maklumat lanjut dan perkembangan terkini, ikuti TV3 di Facebook, X, YouTube dan Instagram @TV3Malaysia serta Instagram rasmi Drama Sangat di @dramasangat.













