Malam semalam mencatat detik bersejarah dalam industri muzik tanah air apabila 55,000 peminat memenuhi Stadium Nasional Bukit Jalil untuk menyaksikan “Majlis Tertinggi Rockqueen”, sebuah perhimpunan agung muzik yang didedikasikan khas untuk penggemar Ella. Dianjurkan oleh Hitman Solutions dan Ella sendiri, konsert berskala mega ini bukan sekadar persembahan, tetapi manifesto tentang ‘Peace, Love dan Rindu’ yang menyatukan generasi. Malam itu membuktikan legasi Ella terus mendominasi merentasi zaman, bukan hanya sebagai ikon, tetapi juga sebagai suara hati rakyat.
Konsert dibuka secara dramatik dengan persembahan 30 koir kanak-kanak sebelum Ella muncul dengan lagu “Rama Rama” pada jam 8:30 malam. Sorakan gemuruh penonton seakan satu deklarasi bahawa takhta Ratu Rock Malaysia kekal utuh. Berlangsung lebih dari tiga jam, sebanyak 35 lagu dipersembahkan, termasuk karya ikonik seperti “Baldu Biru”, “Dua Insan Bercinta”, “Layar Impian”, “Peace Love Rindu” dan kemuncak malam, “Standing In The Eyes Of The World”. Lagu ini dinyanyikan bersama penonton, diiringi piano oleh pencipta dan komposer asal, Dato’ Wah Idris, serta barisan atlet berkelas dunia tanahair, mencipta momen penuh emosi.
Malam bersejarah itu turut diserikan dengan penampilan istimewa artis jemputan seperti Amir Masdi, Sam Bunkface, Tam Spider dan The Boys. Kemunculan mengejut Amy Search dan Joe Flizzow mencetuskan sorakan luar biasa dan menjadi antara detik paling tular malam tersebut. Momen paling simbolik berlaku apabila Ella mengelilingi stadium menaiki trak sambil menyampaikan lagu “Standing In The Eyes Of The World”, disertai atlet kebanggaan negara seperti Datuk Nicol David, Ridzuan Puzi, Muhammad Ziyad Zolkefli dan Farah Ann Abdul Hadi, menjadikan malam itu simbol penyatuan muzik dan semangat kebangsaan.


Segmen penghormatan khas kepada legenda seperti Datuk Ramli Sarip dan Dato’ M. Nasir turut menyentuh hati, menghubungkan sejarah dengan masa depan dalam satu naratif penuh makna. Konsert ini juga membawa misi kemanusiaan apabila lebih RM100,000 berjaya dikumpulkan untuk disalurkan kepada pertubuhan kebajikan terpilih, membuktikan bahawa muzik bukan sekadar hiburan, tetapi juga wadah untuk memberi dan berkongsi.
Menurut Ketua Pegawai Eksekutif dan Pengasas Hitman Group, Rohit Rampal, kejayaan ini hasil dedikasi pasukan serta sokongan padu para peminat. Ella atau nama sebenarnya Nor Zila Aminuddin, turut meluahkan rasa syukur atas kehadiran 55,000 penyokong yang menjadikan malam itu bukti nyata bahawa mesej Peace, Love & Rindu benar-benar hidup dalam hati rakyat. Gelombang “Majlis Tertinggi Rockqueen” bakal diteruskan ke Singapura pada 9 Mei 2026 di The Star Theatre, membawa semangat yang sama ke pentas antarabangsa.
Di sebalik segala gemerlap produksi dan kehebatan persembahan, “Majlis Tertinggi Rockqueen” adalah untuk para peminat. 55,000 yang hadir bukan sekadar penonton, tetapi sebahagian daripada sejarah. Malam itu milik mereka. Inilah makna sebenar perhimpunan agung ini — bukan hanya meraikan seorang Ratu, tetapi meraikan keluarga besar yang disatukan oleh muzik, cinta, dan rindu.
“Majlis Tertinggi Rockqueen” tidak mungkin direalisasikan tanpa sokongan padu rakan-rakan strategik industri. Penghargaan dirakamkan kepada Perbadanan Stadium Malaysia sebagai lokasi rasmi; Era FM, Sinar FM, Mix FM, Lite FM dan Gegar FM sebagai radio rasmi; Astro Gempak, Meletop dan Hlive sebagai media rasmi; Ad Box, Wow Media dan Warisan Outdoor sebagai rakan media luar; Hyatt Palace Kuala Lumpur Bukit Jalil sebagai rakan hotel; Sri Munura Catering sebagai rakan F&B; Rapid KL sebagai rakan strategik; serta Fella Design dan Aideaspace sebagai rakan reka bentuk dalaman, selain sokongan Visit Malaysia 2026. Acara ini juga dianjurkan dengan kerjasama Persatuan Cinta Gaza Malaysia, Yayasan Kebajikan Negara dan Yayasan Kebajikan Artis Tanahair, selari dengan semangat Peace, Love & Rindu yang menjadi teras konsert tersebut.
Bagi sebarang maklumat lanjut, sila hubungi wakil di +6012-265 5783 atau emel ke concerts@hitman.group.