Namanya Hind Rajab Hamada. Usianya baru enam tahun. Dunia mendengar rintihannya, namun seolah-olah berpaling, seakan nyawanya tidak bernilai.
Hind bukan pejuang, bukan askar dan bukan ancaman. Dia hanyalah seorang kanak-kanak Palestin yang terperangkap di dalam sebuah kereta, dikelilingi mayat ahli keluarganya sendiri, sambil memegang telefon dan merayu untuk hidup. Dalam suara yang bergetar, Hind memohon pertolongan dengan penuh pilu, “Please come.” Dunia mendengar, tetapi gagal menyelamatkannya.
Pada 29 Januari 2024, Hind berada di Gaza bersama keluarganya apabila kereta mereka diserang. Seorang demi seorang terkorban, meninggalkan Hind sendirian di tengah jasad yang sudah tidak bernyawa. Dia menghubungi perkhidmatan kecemasan Palestin bukan untuk menangis, tetapi untuk bertahan.

Dalam rakaman panggilan itu, suara Hind kecil dan lemah, namun penuh harapan. Dia tidak faham mengapa pertolongan yang dijanjikan tidak sampai. Selama lebih dua jam, Hind kekal di talian telefon, menjawab soalan dengan suara yang semakin perlahan. Dia memberitahu bahawa dia takut dan bahawa semua orang di sekelilingnya sudah “tidak bergerak.”
Apabila talian itu akhirnya senyap, ia menandakan jam terakhir zaman kanak-kanaknya. Ambulans yang tiba untuk membawa harapan turut menjadi sasaran, dengan dua orang paramedik yang hadir dalam misi menyelamat itu turut gugur.
Menurut laporan PRCS dan pihak berkuasa tempatan Gaza, disokong oleh laporan BBC dan Al Jazeera, Hind ditemui tidak bernyawa bersama enam ahli keluarganya, 12 hari kemudian pada 10 Februari 2024, selepas pengunduran tentera Zionis. Sebanyak 355 butir peluru dilaporkan menembusi kenderaan yang mereka naiki.
Di saat pemimpin berdebat dan istilah “kerosakan sampingan” digunakan, seorang kanak-kanak mati ketakutan dan sendirian. Soalan paling menyayat hati bukan bagaimana Hind mati, tetapi mengapa tiada siapa menghentikannya daripada mati.
Hind adalah anak kita semua. Jika dia lahir di tempat lain, bercakap bahasa lain, atau berkulit berbeza warna, adakah nasibnya akan sama? Kisah Hind Rajab mengajar dunia satu perkara pahit: nyawa seorang kanak-kanak Palestin masih perlu diperjuangkan untuk diakui sebagai bernilai.

Hind Rajab bukan sekadar satu nama dalam senarai korban. Dia adalah simbol kegagalan dunia untuk melindungi mereka yang paling tidak berdosa.
Hind sudah tiada, tetapi suaranya masih bergema dalam rakaman, dalam ingatan, dan dalam hati nurani mereka yang masih mampu merasa. Setiap kali dunia memilih untuk berpaling, ingatlah suara kecil itu yang pernah berkata, “Please come…”
Ayuh bersama menonton The Voice of Hind Rajab, di pawagam terpilih di seluruh negara.