Dalam dunia yang terus bergerak tanpa henti, ada satu suara kecil yang pernah berhenti—menunggu bantuan yang dijanjikan, memanggil dalam ketakutan, dan berharap ada yang akan datang. Namun, bantuan itu tidak pernah tiba. Suara yang kekal bergema itu menuntut perhatian dan empati. The Voice of Hind Rajab bukan sekadar sebuah filem; ia adalah gema terakhir seorang anak kecil yang meminta tolong, sebuah rakaman sebenar yang kekal hidup dalam ingatan dunia. Filem ini membawa penonton menyusuri detik-detik terakhir Hind Rajab, seorang kanak-kanak perempuan berusia enam tahun yang terperangkap di dalam sebuah kereta di tengah konflik, hanya ditemani oleh suara di hujung talian dan harapan yang semakin pudar, sebuah kisah yang tidak dicipta tetapi direkodkan oleh sejarah.
Filem ini diterbitkan oleh Mime Films dan Tanit Films, dengan Primeworks Studios sebagai pengedar dan rakan pemasaran rasmi. Ia diarahkan oleh pengarah tersohor Tunisia, Kaouther Ben Hania, dan dibintangi barisan pelakon antarabangsa termasuk Saja Kilani, Motaz Malhees, Amer Hlehel, dan Clara Khoury. Cerita filem ini berasaskan peristiwa sebenar pada 29 Januari 2024, apabila sukarelawan Palestine Red Crescent menerima panggilan kecemasan—bukan daripada orang dewasa, tetapi daripada seorang kanak-kanak yang tersepit antara hidup dan mati. Di hujung talian, Hind menceritakan kedudukannya, siapa yang bersamanya, keadaan kereta yang ditembusi tembakan, dan kereta kebal yang semakin menghampiri. Suaranya kecil, namun penuh ketakutan, harapan, dan penantian.

Berteraskan rakaman panggilan kecemasan sebenar, tanpa sebarang suntingan dan lakonan, The Voice of Hind Rajab tampil sebagai memorial audio visual yang menghiris perasaan. Setiap detik disampaikan dengan kejujuran yang menyakitkan kerana ia benar-benar berlaku. Mengulas detik penting pembikinan filem ini, Kaouther Ben Hania menyatakan bahawa pengalaman mendengar suara Hind buat kali pertama kekal terngiang di ingatannya. “Saat pertama kali saya mendengar suara Hind Rajab, perasaan itu amat menghantui dan membuat rasa tidak berdaya. Kesedihan, kemarahan, dan keputusasaan bercampur menjadi satu. Semua rakaman suaranya diserahkan kepada saya oleh Bulan Sabit Merah Palestin, dan mendengarkan suara seorang kanak-kanak menerangkan keadaan di sekelilingnya sambil menunggu bantuan yang tidak pasti… itu adalah pengalaman yang sangat berat. Hind menceritakan di mana dia berada, siapa yang bersamanya, keadaan kereta serta kereta kebal yang semakin menghampiri. Suara itu begitu kuat kerana ia benar dan tulen. Dalam banyak hal, suara Hind Rajab seolah-olah menjadi suara Gaza itu sendiri.”
The Voice of Hind Rajab tidak menayangkan keganasan secara visual, sebaliknya memilih pendekatan psikologi dan kemanusiaan. Filem ini menyorot tekanan emosi petugas kecemasan, ketidakberdayaan di hujung talian, serta realiti pahit apabila jarak, masa, dan keadaan menjadikan pertolongan mustahil. Ia membuka ruang kepada penonton yang mungkin tidak pernah mengikuti perkembangan di Gaza untuk memahami realiti yang berlaku, merasai apa yang tidak dapat dilihat oleh kamera—ketakutan, harapan, dan penantian seorang anak kecil—bukan melalui laporan berita atau statistik tetapi melalui satu suara kecil yang meminta tolong.
Pelakon utama Motaz Malhees berkongsi harapannya terhadap kesan yang ingin ditinggalkan filem ini kepada penonton. “Saya berharap penonton pulang dengan renungan dan satu soalan dalam hati tentang apa yang boleh kita lakukan supaya perkara seperti ini tidak berulang. Setiap kanak-kanak berhak untuk diselamatkan. Kadangkala, tindakan kecil mampu membawa perubahan besar.”
Diiktiraf di peringkat antarabangsa, The Voice of Hind Rajab mencatat pencapaian besar apabila memenangi Silver Lion Grand Jury Prize di Venice International Film Festival 2025, selain tersenarai dalam Top 15 kategori Best International Feature Film di Academy Awards ke-98 (2026). Pengiktirafan ini mengukuhkan kedudukannya sebagai karya pawagam penting dan relevan yang perlu diberi perhatian dunia. Filem ini turut mendapat sokongan penerbit eksekutif tersohor termasuk Brad Pitt dan Joaquin Phoenix, menjadikannya karya kemanusiaan yang melangkaui sempadan politik dan geografi.

Usaha mempromosi filem ini digerakkan melalui kempen Hind Rajab: Suara Terakhir, hasil kerjasama strategik bersama MERCY Malaysia, dengan sokongan Persatuan Bulan Sabit Merah Palestin dan Persatuan Bulan Sabit Merah Malaysia sebagai satu inisiatif kemanusiaan yang menyeru empati dan kesedaran. Kempen ini diperkasakan melalui advokasi kesedaran yang dibimbing oleh tiga suara utama, iaitu Zainal Rashid Ahmad (ZRA), Ahmad Fedtri Yahya, dan Uyaina Arshad, dipilih berdasarkan kredibiliti, jangkauan pengaruh, dan kepercayaan masyarakat Malaysia. Turut menyokong sebagai kolaborator kempen ialah Heliza Helmi, Hazwani Helmi, Nadzmi Adhwa, Ardell Aryana, Farah Lee, Nine Phyne Ballerz, Elliza Razak, serta pasukan Media TV3 termasuk Irin Putri, Mior Malek, Saree Abdullah, Fahiz Ariff, dan Amirulhakim Lokman, menjadikan kempen ini bukan sekadar gerakan media sosial tetapi satu suara nasional berteraskan kemanusiaan.

Sebagai simbol empati dan solidariti, Media Prima akan menyumbangkan RM1 daripada setiap tiket yang terjual kepada Tabung Kemanusiaan Palestin Media Prima. Filem ini disampaikan dalam bahasa Arab dan Inggeris, lengkap dengan sari kata Bahasa Malaysia, dan akan ditayangkan di pawagam terpilih bermula 8 Januari 2026. The Voice of Hind Rajab bukan sekadar filem, tetapi sebuah bukti dan suara yang kekal abadi, menghidupkan inspirasi kisah benar yang menyentuh jiwa dan menyentak emosi penonton di pawagam.
Untuk perkembangan terkini dan kandungan eksklusif, ikuti The Voice of Hind Rajab di Facebook, Instagram, X, dan YouTube Primeworks Studios.