Lebih dua dekad selepas Ada Apa Dengan Cinta? memikat jutaan penonton, kisah cinta ikonik itu kini kembali hidup dalam versi generasi baharu melalui filem Rangga & Cinta. Dihasilkan oleh Miles Films dan diarahkan oleh Riri Riza, karya ini bukan sekadar menghidupkan nostalgia, tetapi turut memperkenalkan wajah-wajah muda berbakat, menjadikannya antara filem Indonesia paling dinantikan tahun ini.
Filem ini memberi tumpuan kepada pencarian bakat baharu dalam dunia perfileman. Sesi uji bakat besar-besaran dijalankan di seluruh Indonesia, melibatkan kira-kira 700 remaja yang mencuba nasib sepanjang tempoh enam bulan sebelum watak utama dipilih. Sebagai sebuah filem muzikal, para peserta bukan sahaja perlu mahir berlakon, tetapi juga berkemampuan menyanyi, menjiwai watak, serta bersedia menjalani latihan intensif bagi memastikan persembahan yang mantap di layar perak.
Mira Lesmana, salah seorang penerbit filem ini, berkongsi bahawa pencarian untuk watak utama sangat mencabar. Menurutnya, ketika menghasilkan filem asal dulu, watak Rangga adalah watak paling akhir ditemui dan mencari Nicholas Saputra memerlukan usaha yang sangat sukar. Namun bagi versi baharu ini, El Putra Sarira ditemui lebih awal, sementara cabaran sebenar adalah mencari pelakon bagi watak Cinta.
Riri Riza turut menceritakan detik mereka mula mengenali El Putra Sarira. Segalanya bermula apabila seorang talent manager menunjukkan video El yang dirakam di konsert Lyodra di Makassar. Dalam video tersebut, Lyodra mengajak penonton naik ke pentas untuk menyanyi bersama, dan El tampil secara spontan. Dari momen itulah, pasukan produksi mula menjejaki identiti pemuda tersebut.
Nicholas Saputra, pelakon asal yang membawa watak Rangga dan kini bertindak sebagai penerbit, dikatakan individu terawal mengenal pasti potensi El. Beliau dilaporkan berbisik kepada Mira, “Mbak, ini kayaknya dia. Terbangin, mbak,” seolah-olah menyampaikan baton legasi watak tersebut kepada generasi yang seterusnya.
El sendiri tidak menyangka video persembahannya bersama Lyodra itu akan mengubah hidupnya. “Video itu jadi viral sampai 16 juta tontonan di TikTok. Dari situ, talent manager hubungi saya. Mula-mula saya rasa tak percaya, sampai saya semak nama mereka di LinkedIn,” kata El mengimbas kembali detik itu.
Sementara itu, pemilihan watak Cinta pula lebih mencabar kerana pelakon yang layak ditemui agak lewat. Riri mendedahkan bahawa beliau tidak mengetahui Leya Princy merupakan anak kepada pelakon terkenal Ferry Maryadi dan Risma Nilawati. Leya hadir ke uji bakat tanpa mendedahkan latar belakang keluarganya, memastikan pemilihannya benar-benar berdasarkan bakat dan usaha sendiri.
Dengan gabungan bakat muda, muzik yang menyentuh hati dan kisah menarik di sebalik pembikinannya, Rangga & Cinta bukan sahaja menyambung legasi filem terdahulu, tetapi turut membuka lembaran baharu dalam dunia perfileman Indonesia. Filem ini menjadi simbol bahawa bakat sebenar akan sentiasa ditemui, walaupun hadir dari tempat yang tidak disangka-sangka.
Rangga & Cinta kini sedang ditayangkan di pawagam. Saksikan perjalanan Rangga, Cinta, Geng Cinta, Geng Borne dan ramai lagi menghidupkan kisah cinta generasi baharu ini.
Bila dua jiwa bertemu, cinta menemukan nadanya. Kerana setiap generasi punya Rangga & Cinta mereka sendiri.
Untuk perkembangan terkini dan kandungan eksklusif, ikuti Primeworks Studios di Facebook, Instagram, X dan YouTube.











