SPIDER UNPLUGGED telah menggegarkan Mega Star Arena Kuala Lumpur pada 25 Oktober 2025. Konsert ini disifatkan sebagai sebuah keraian muzik yang cukup dekat di hati peminat serta melambangkan Spider sebagai kugiran yang unik, tersendiri dan hebat dalam industri muzik tanah air.
“Konsep unplugged yang dibawakan ini adalah pertama kali kami tampilkan bersama Spider. Tentu sahaja hasilnya akan mewah, tersendiri serta menjadi momen terbaik yang pernah disaksikan peminat Spider,” ujar Fandy Alias, wakil dari Naga Legend Entertainment.
Bagi Spider yang terdiri daripada Tam selaku vokalis, Aie di posisi drum, Iss sebagai pemain bass dan Pown di posisi gitar, kesepakatan untuk menjayakan SPIDER UNPLUGGED di Mega Star Arena Kuala Lumpur bersama Naga Legend Entertainment hadir dengan visi dan misi yang sama.
Konsert ini menampilkan senarai lagu yang penuh variasi dan nostalgia buat para peminat. Antaranya termasuk “Rasakan Resapkan,” “Kau Saja,” “Sumpah Tak Buat Lagi,” “Waduh Tijah,” “Laukku Cukup Masin,” “Relaku Pujuk,” serta “Impian Seorang Nelayan” yang asalnya dipopularkan oleh kumpulan Kembara. Dengan lebih 20 lagu dibawakan sepanjang persembahan, Spider membuktikan kredibiliti mereka selepas dua dekad dalam industri.
Barisan pemuzik yang terlibat turut menambah keunikan konsert ini. Tam Mustafah tampil sebagai vokalis utama, Pown Hasril di posisi gitar, Iss sebagai pemain bass, Aie Nasir di posisi drum, manakala Firdaus Mahmud bertindak sebagai pemain keyboard dan pengarah muzik bersama Rafi Mohd. Persembahan turut dimeriahkan dengan Paang Zaman di bahagian perkusi, serta seksyen horn yang dibarisi oleh Weed, Wan dan Asri.
Seksi strings pula diketuai oleh Ahmad Munir sebagai konsertmaster bersama pemain violin lain seperti Muhammad Haikal, Shaik Fitri, Amirul Fahmi, Adi Amirul Izzat, Nadia Zaid, Fatin Khalilah dan Muhammad Hafiz. Bahagian viola diwakili Afif Zulkifli serta Deen Danish, manakala cello dimainkan oleh Sabrina Azman dan Mohamad Haziq.
SPIDER UNPLUGGED bukan sekadar konsert biasa, sebaliknya ia menjadi simbol perjalanan seni kumpulan Spider sepanjang lebih 20 tahun dalam industri muzik Malaysia. Dengan sokongan padu daripada peminat serta susunan muzik baharu yang kreatif, konsert ini meninggalkan kesan mendalam buat semua yang hadir di Mega Star Arena Kuala Lumpur.