“Rangga & Cinta” Kini Muzikal – Saksikan Keajaiban Cinta di Pawagam!

Puisi, lagu dan cinta bersatu dalam satu pentas layar baharu menerusi Rangga & Cinta, filem muzikal arahan Riri Riza yang menjanjikan pengalaman penuh warna dan nostalgia yang pasti membuat penonton ingin turut sama menyanyi.

Diterbitkan oleh Miles Films, filem ini mengangkat semula kisah ikonik Ada Apa Dengan Cinta? dengan nafas baharu, kali ini melalui irama, melodi dan dialog emosi yang menyingkap setiap denyut rasa antara dua jiwa muda.

Menariknya, lagu-lagu dalam filem ini digubah oleh duo legenda Melly Goeslaw dan Anto Hoed, yang juga mencipta runut bunyi abadi seperti Ada Apa Dengan Cinta dan Bimbang. Lagu-lagu ini menjadi nadi utama penceritaan, mengembalikan nostalgia buat mereka yang membesar bersama AADC?, sambil memperkenalkan semula debaran cinta pertama yang jujur dan janggal kepada generasi baharu.

Filem ini turut menampilkan El Putra Sarira sebagai Rangga dan Leya Princy sebagai Cinta yang memikul tanggungjawab besar menggantikan ikon terdahulu Nicholas Saputra dan Dian Sastrowardoyo selepas melalui proses uji bakat yang ketat. Kini penonton berpeluang menyaksikan watak Rangga yang tetap misteri dan puitis serta Cinta yang bijak dan disayangi ramai dengan interpretasi yang benar-benar mencerminkan jiwa sebenar Gen Z.

Pengarah Riri Riza menyifatkan Rangga & Cinta sebagai refleksi keberanian filem Indonesia dalam mencuba pendekatan penceritaan yang lebih kreatif. “Selain bekerjasama dengan ramai pengarah muda dalam projek ini, saya juga amat bersyukur kerana dapat kembali meneroka genre muzikal, khususnya dengan runut bunyi asal yang begitu disayangi ramai, hasil ciptaan Melly Goeslaw dan Anto Hoed. Saya berharap penonton akan merasakan kegembiraan dan kehangatan emosi yang sama seperti yang saya alami sepanjang proses menghasilkan filem ini.”

Filem ini turut menerima sambutan hangat dan positif semasa tayangan perdananya di Busan International Film Festival (BIFF) 2025 pada September lalu, dan dijangka mencetus fenomena baharu apabila ditayangkan di Malaysia mulai 6 November ini.

Sebagai pengedar dan rakan pemasaran rasmi, Primeworks Studios teruja menanti penonton merasai sendiri magis “surat cinta” yang kini beralun dalam irama muzikal, hanya di pawagam November ini. Untuk perkembangan dan kandungan eksklusif filem ini, ikuti Primeworks Studios di Facebook, Instagram, X dan YouTube.