Bayangkan sedang seronok menikmati perjalanan menaiki motorhome, tiba-tiba muncul seorang gadis misteri yang mengubah segalanya. Itulah kisah utama dalam filem aksi komedi terbaharu bertajuk KLEPET, terbitan Wawa Global Sdn. Bhd. arahan Indra Putra atau lebih dikenali sebagai Sanji. Filem ini mengisahkan tiga sahabat Paly (Aedy Ashraf), Jany (Nadhir Nasar) dan Wady (Meerqeen) yang merancang percutian santai menaiki motorhome. Namun, pengembaraan mereka bertukar kecoh apabila muncul seorang gadis misteri dari Ukraine bernama Lola (Darina Porhun). Kehadiran Lola bukan sahaja mencetuskan kekeliruan, malah membawa mereka ke dalam kancah kekacauan melibatkan hitman, duit berkepuk dan situasi yang semakin tidak terkawal.
Menurut pengarahnya, Indra Putra, beliau tertarik untuk mengarahkan Klepet kerana naskhah ini menampilkan gabungan komedi dan aksi yang segar, diadun dengan gaya penceritaan yang unik. “Klepet menggabungkan gaya komedi pelbagai lapisan daripada elemen komikal, animasi, hingga lawak rawak yang spontan. Pendekatan ini menjadikan Klepet berbeza berbanding filem aksi komedi lain di pasaran,” jelasnya. Menariknya, Klepet turut menampilkan barisan pelakon popular tanah air seperti Aeril Zafrel, Joey Daud, Eric Fuzi, Namie SMY, dan Adlin Aman Ramlie, selain pelakon kelahiran Ukraine, Darina Porhun.

Sebagai penerbit, Aeril Zafrel menegaskan bahawa Klepet bukan sekadar hiburan kosong, tetapi hadir dengan mesej sosial yang relevan. “Kami hasilkan Klepet bukan hanya untuk gelak ketawa, tetapi juga membawa inspirasi kepada anak muda. Filem ini menekankan nilai persahabatan, pengorbanan dan saling menyokong sesuatu yang dekat dengan jiwa penonton,” katanya. Aeril turut menambah bahawa filem ini menampilkan gabungan pelakon lelaki popular yang dianggap sebagai ‘Hero Malaya’, menjadikan Klepet satu tarikan istimewa buat penonton.
Proses penggambaran Klepet dijalankan sepenuhnya di Melaka selama 25 hari dengan kos penerbitan sebanyak RM2.6 juta. Filem ini turut menerima bantuan Dana Kandungan Digital (DKD) daripada Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (FINAS) bagi menyempurnakan produksi keseluruhan. “Kami amat menghargai sokongan FINAS dalam merealisasikan projek ini. Bantuan tersebut membolehkan kami menghasilkan visual dan penceritaan yang lebih berkualiti,” tambah Aeril.
Filem aksi komedi penuh kekecohan dan kejutan ini bakal menemui penonton di pawagam seluruh negara mulai 27 November 2025. Tiket untuk menonton KLEPET kini sudah boleh dibeli menerusi laman sesawang www.tgv.com.my atau melalui aplikasi TGV.