Apabila Sihir Membalas Dendam: Rahsia Gelap Mawar Terbongkar

Setiap manusia dilahirkan dengan akal dan pilihan sama ada memilih cahaya atau tersesat dalam kegelapan. Dalam kehidupan yang penuh ujian, ada yang memilih untuk berserah kepada Tuhan dan bersabar, manakala ada juga yang membiarkan nafsu dan dendam menguasai jiwa, hingga sanggup menunduk kepada ilmu hitam demi mencapai kehendak duniawi. Namun, tiada kebahagiaan yang lahir daripada kegelapan; hanya penyesalan yang menanti di hujung jalan.

Itulah kisah yang diangkat dalam filem Qifarah, naskhah seram baharu arahan Ghaz Abu Bakar yang membawa penonton menyelami sisi gelap manusia dan akibat perbuatan yang melanggar batas keimanan. Filem ini menyorot kisah Mawar (lakonan mantap Sharifah Sakinah), wanita yang memilih jalan syirik untuk mempertahankan warisan dan kekuasaan. Demi mengikat nasibnya dengan keluarga Ghazali (lakonan Esma Daniel), Mawar menggunakan ilmu sihir dan mengawal mereka tanpa belas kasihan. Namun, kejahatan tidak pernah kekal dan setiap perbuatan hitam mula menuntut balasan.

Kisah ini semakin tegang apabila Yusoff (lakonan Remy Ishak) pulang ke tanah air setelah bertahun-tahun di Cairo untuk menziarahi ayahnya yang sedang nazak. Kepulangannya membuka semula lembaran lama penuh dosa dan rahsia, termasuk pengkhianatan ayahnya terhadap Nur (lakonan Vanidah Imran) dan kemunculan Mawar yang menghancurkan kebahagiaan keluarga itu. Dalam suasana seram yang menyelubungi rumah pusaka mereka, penonton disajikan dengan konflik batin, keinsafan, serta balasan atas setiap dosa yang dilakukan.

Lebih daripada sekadar kisah seram, Qifarah menonjolkan konsep pembalasan Tuhan bahawa setiap kesalahan, sama ada disembunyikan atau dilupakan, pasti akan dibayar dengan harga yang setimpal. Ia menjadi cerminan kepada realiti manusia yang sering lupa bahawa kekuasaan dan harta bukanlah jaminan kebahagiaan, sebaliknya keikhlasan dan keimananlah yang membawa ketenangan sebenar.

Kini menghantui pawagam seluruh Malaysia, Qifarah bukan sekadar hiburan ia sebuah peringatan. Saksikan bagaimana dosa silam menjadi racun yang menghancurkan jiwa, dan bagaimana cahaya kebenaran mampu memusnahkan kegelapan yang sekian lama berakar. Untuk perkembangan dan kandungan eksklusif, ikuti Primeworks Studios di Facebook, Instagram, Twitter dan YouTube.