“Jika Itu Salahku”, drama terbaharu slot Lestary TV3, membawa penonton menyelami sisi cinta yang tidak hanya berlandaskan perasaan, tetapi juga ujian keimanan dan ketentuan Ilahi. Mengisahkan pertemuan dua jiwa dari latar kehidupan serta agama berbeza, karya adaptasi novel tulisan Liza Nur ini menampilkan gandingan mantap Sophia Albarakbah dan Alvin Chong sebagai teraju utama.
Asyiqeen (Sophia Albarakbah), gadis yang dibesarkan tanpa bimbingan agama, menempuh hidup penuh luka dan pengorbanan demi menjaga adiknya, Balqis, yang menghidap sindrom Down. Takdir mempertemukannya dengan Ivan (Alvin Chong), lelaki kacukan yang hidup bebas tanpa arah. Pertemuan mereka menumbuhkan kasih yang halus namun penuh konflik antara cinta, kepercayaan dan perbezaan agama.
Diarahkan oleh Riza Baharuddin dan diterbitkan oleh Global Station Sdn. Bhd., drama 13 episod ini turut menampilkan barisan pelakon berpengalaman seperti Dato’ Ziela Jalil, Fadilah Mansor, Shamsul Ghau Ghau dan Steve Yap. Setiap babak sarat dengan nilai kemanusiaan dan renungan spiritual yang menyentuh jiwa penonton.

Menurut Alvin Chong, watak Ivan memberinya ruang untuk memahami sisi spiritual yang jarang diterokai dalam lakonannya. “Ia bukan sekadar kisah cinta biasa, tetapi perjalanan mencari makna diri dan keyakinan dalam menghadapi perbezaan yang nyata,” katanya.
“Jika Itu Salahku” bakal menemui penonton bermula 17 Oktober 2025, setiap Jumaat dan Sabtu, jam 9.00 malam di TV3. Penonton juga boleh menstrim episod baharu 24 jam lebih awal di www.tonton.com.my atau melalui aplikasi Tonton di Google Play dan App Store.
Untuk maklumat lanjut dan perkembangan terkini drama tempatan, ikuti laman sosial rasmi TV3 Malaysia dan @dramasangat di Instagram, Facebook, Twitter dan YouTube.