Dalam masyarakat moden yang masih bergelut antara realiti kehidupan seharian dan kepercayaan terhadap dunia mistik, hadir sebuah karya seram yang menggugat jiwa dan nurani Qifarah, sebuah filem seram misteri yang menyelami sisi paling gelap dalam hubungan manusia. Mengangkat tema pengkhianatan dan pembalasan, filem ini dijangka mencetuskan pelbagai reaksi apabila mula menghantui pawagam seluruh negara bermula 9 Oktober 2025.
Diarahkan oleh Ghaz Abu Bakar, Qifarah tampil berbeza daripada formula seram klise apabila ia membawa penonton menyelami naratif berat tentang dosa kecurangan, balasan tak terduga, serta kepercayaan terhadap ilmu hitam yang sering dijadikan “pelarian” oleh mereka yang dikuasai nafsu dan dendam.
Filem ini berpusat pada watak Yusoff (lakonan Remy Ishak) yang pulang ke tanah air selepas bertahun menetap di luar negara. Kepulangannya untuk menziarahi ayahnya, Ghazali (Esma Daniel) yang uzur, tanpa diduga membuka kembali luka lama kecurangan ayahnya terhadap ibunya, Nur (Vanidah Imran), melalui perkahwinan dengan Mawar (Sharifah Sakinah), seorang wanita misteri yang dipercayai mengamalkan ilmu hitam.

Ketenangan yang diharapkan bertukar menjadi mimpi ngeri apabila Yusoff mula diganggu oleh kejadian aneh dan menakutkan. Setiap rahsia yang terbongkar menolak dirinya ke arah kebenaran yang lebih gelap daripada sangkaan.
Qifarah menjadi begitu dekat dengan penonton kerana ia mencerminkan realiti yang masih wujud dalam masyarakat kisah kecurangan, perebutan pasangan, dan penggunaan kuasa gelap demi kepentingan diri. Filem ini hadir sebagai peringatan bahawa setiap perbuatan pasti ada balasannya, dan apabila manusia menggadaikan fitrah kepada entiti yang bertentangan dengan Tuhan, akibatnya mampu memakan diri sendiri.
Walaupun berteraskan fiksyen, Qifarah berani mengangkat isu sebenar yang sering disorok daripada pandangan umum. Ia bukan sekadar hiburan seram, tetapi satu renungan mendalam tentang harga dosa dan kesannya terhadap jiwa serta keluarga. Jangan lepaskan peluang menyaksikan Qifarah, sebuah filem seram penuh pengajaran dan peringatan yang bakal menghantui pawagam seluruh negara mulai 9 Oktober 2025.