Kolaborasi Unik 5 Bintang Muzik Indonesia: SAMA SAMA Tour Singgah Kuala Lumpur

Selepas kejayaan besar di Indonesia, Tur SAMA SAMA kini melangkah ke pentas Malaysia dengan destinasi perdana di Kuala Lumpur. Persembahan epik ini bakal berlangsung di Idea Live Arena pada 5 Disember 2025, jam 7.30 malam, menampilkan lima pemuzik berpengaruh Nusantara iaitu Tulus, Kunto Aji, Dere, Sal Priadi dan Idgitaf.

Sebelum ini, Tur SAMA SAMA menutup tirai di Bogor pada 24 Mei lalu dengan sambutan luar biasa. Ketika itu, Tulus telah berjanji untuk membawa perjalanan muzik ini ke Malaysia, dan kini janji tersebut direalisasikan. Kehadiran lima figura dengan semangat kolaborasi yang unik diyakini bakal menggegarkan Kuala Lumpur dengan pengalaman muzik luar biasa.

Penganjur bersama iaitu PT Expo Indonesia Jaya (ExpoIndo), Thrive, dan Tiga Dua Satu menyatakan rasa bangga kerana dapat merealisasikan impian ini. “Pengumuman Tur SAMA SAMA di Idea Live Arena merupakan mimpi besar yang akhirnya menjadi nyata setelah sambutan hangat di Indonesia,” kata Udzir Harris dari Thrive.

Menurut Bram Tulong dari ExpoIndo pula, tema kolaborasi ini bukan sahaja menjanjikan konsert biasa, tetapi sebuah pengalaman muzik yang segar kerana peminat di Malaysia mempunyai apresiasi yang tinggi terhadap kelima-lima artis ini. Tiur Tobing dari Tiga Dua Satu menambah, “Jangan lepaskan peluang kerana Tur SAMA SAMA adalah salah satu kolaborasi paling epik tahun ini.”

Tiket pra-jualan rasmi telah dibuka pada 29 September 2025 dengan harga bermula dari RM228. Terdapat 11 kategori tiket termasuk Bronze, Crystal, Silver, Diamond, Gold, Platinum, Ruby, Sapphire, Emerald, Emerald Extra dan Group Suite yang boleh didapati menerusi BBO Events dan samasamatur.com.

Menurut Sal Priadi, Tur SAMA SAMA menjanjikan format kolaborasi yang unik dan tidak pernah dilakukan sebelumnya. “Kami akan mempersembahkan gabungan dinamik daripada solo, duet, trio hingga kuintet. Ia akan menjadi pengalaman yang sukar dilupakan,” katanya.

Persembahan ini juga akan memperlihatkan para artis bukan sahaja membawakan lagu masing-masing, malah saling bertukar lagu serta bereksperimen dengan susunan baharu yang dicipta khas untuk siri tur ini. Sebelum ke Malaysia, Tur SAMA SAMA telah mendapat sambutan hangat di Bandung, Surabaya, Yogyakarta dan Bogor.

Untuk maklumat lanjut dan terkini mengenai Tur SAMA SAMA, ikuti media sosial rasmi penganjur di @thriveevents_my.