BMC Family 360°: Acara Keluarga Mampan Terbesar Kajang Bersama Nabila Razali

Pesta dan karnival keluarga mampan terbesar, BMC Family 360° dengan tema “A Step to the Future”, bakal berlangsung di BMC Mall, Bandar Mahkota Cheras dari 19 hingga 21 September 2025, bermula 10 pagi hingga 10 malam. Acara berskala besar anjuran AI Global dengan kerjasama Majlis Perbandaran Kajang (MPKj), BMC Mall, iBidan dan CelcomDigi ini julung kali diadakan, menawarkan pelbagai aktiviti interaktif, pameran, pertunjukan serta hiburan yang sesuai untuk semua peringkat umur.

Acara ini berlandaskan Matlamat Pembangunan Mampan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UN SDG) dengan objektif memperkukuh nilai kekeluargaan, komuniti mampan dan gaya hidup pintar. Nabila Razali yang dipilih sebagai jurucakap rasmi turut membuat persiapan rapi untuk menjayakan acara ini. Menurutnya, beliau berbangga dapat menyebarkan kesedaran mengenai SDG sambil mengamalkannya dalam kehidupan seharian, termasuk aspek kesihatan, pendidikan, penjimatan tenaga, air, serta menjaga persekitaran untuk keluarga.

“Selain membuat persembahan, saya mahu membuka mata orang ramai tentang pentingnya SDG. Ia tidaklah sesukar yang disangka, yang penting kita mula dari diri sendiri dan keluarga,” jelas Nabila yang mesra disapa Bella. Beliau menegaskan tidak tertekan dengan tanggungjawab tersebut, sebaliknya bangga dapat berkongsi ilmu bermanfaat kepada masyarakat.

Acara kemuncak BMC Family 360° akan bermula dengan upacara perasmian pada 19 September jam 3 petang bersama Nabila Razali sebagai jurucakap rasmi. Malam berikutnya, pada 20 September jam 8 malam, acara Persembahan Malam SDG bakal menggabungkan muzik, budaya dan mesej kemampanan, dengan persembahan khas daripada Nabila.

Selain persembahan, pengunjung juga boleh menikmati pelbagai pengisian menarik termasuk pameran Angkatan Tentera Malaysia, pameran kerajaan, swasta & NGO berkaitan SDG, mini zoo untuk kanak-kanak, pertandingan mewarna & melukis, pameran inovasi, jualan gaya hidup lestari, segmen Esports serta ruang permainan interaktif untuk seisi keluarga.

BMC Family 360° dijangka menarik lebih 10,000 pengunjung dari Kajang, Cheras dan Lembah Klang. Acara ini bukan sahaja menjanjikan hiburan, tetapi juga pengalaman penuh ilmu, kesedaran dan kebersamaan keluarga dalam suasana meriah dan bermakna.

Mari sertai BMC Family 360° dan raikan langkah menuju masa depan yang lebih mampan, sejahtera serta penuh keceriaan!