POP UP MUZIK: Irama Global Bertemu di Kuala Lumpur

Hype Live bersama Black Sky Enterprise dengan bangga mempersembahkan POP UP MUZIK, sebuah inisiatif muzik baharu yang diwujudkan untuk merapatkan artis-artis Asia dengan peminat di Malaysia.

Edisi perdana ini bakal berlangsung pada 17 Oktober 2025 di Zepp Kuala Lumpur dengan menampilkan secara eksklusif dua kumpulan terkenal iaitu Armada, band legenda dari Indonesia yang terkenal dengan koleksi lagu malar segar, serta Batas Senja, band yang semakin mendapat tempat di hati pendengar Malaysia dengan karya puitis penuh emosi.

Acara ini bukan sekadar konsert biasa. Selari dengan misi Hype Live, POP UP MUZIK direka sebagai sebuah penghubung budaya dan muzik rentas negara. Ia memberi peluang kepada peminat untuk merasai pengalaman yang lebih intim, interaktif dan penuh momen istimewa bersama artis kegemaran mereka.

Ketua Pegawai Eksekutif Hype Live, Dipta, berkata pihaknya menyedari peminat di Malaysia sudah lama merindui peluang untuk berinteraksi lebih dekat dengan artis dari luar negara. “POP UP MUZIK adalah jawapan kepada kerinduan itu platform yang memberikan pengalaman peribadi bersama artis, termasuk sesi Meet & Greet dan peluang bergambar eksklusif,” katanya.

Sementara itu, penerbit bersama Black Sky, Willy Dozan, menganggap langkah membawa Armada dan Batas Senja ke Kuala Lumpur sebagai satu percaturan berani. Menurutnya, kedua-dua band itu belum pernah tampil bersama di pentas POP UP MUZIK sebelum ini. “Kami percaya persembahan mereka akan menghiburkan dan meninggalkan kenangan indah kepada penonton di Zepp Kuala Lumpur,” ujarnya.

Armada dijangka menggegarkan pentas dengan lagu-lagu popular seperti Asal Kau Bahagia dan Pergi Pagi Pulang Pagi yang pasti membuat dewan bergema dengan nyanyian bersama peminat. Manakala Batas Senja pula bakal menyentuh emosi dengan karya indah mereka seperti Nanti Kita Seperti Ini, Kita Usahakan Lagi dan Menceritakanmu.

Dengan gabungan artis hebat ini, POP UP MUZIK menjanjikan sebuah malam penuh warna, emosi, harmoni dan pengalaman yang akan dikenang lama oleh setiap pengunjung. Tiket untuk menyaksikan konsert ini sudah mula dijual di HYPELIVE-MY.TIXR.COM/POPUPMUZIK.

Maklumat acara: POP UP MUZIK akan berlangsung pada 17 Oktober 2025 di Zepp Kuala Lumpur. Pintu masuk dibuka pada pukul 7.30 malam dengan barisan artis terdiri daripada Armada dan Batas Senja.