Fenomena gerhana bulan penuh atau lebih dikenali sebagai Blood Moon yang berlaku baru-baru ini seakan menjadi petanda kepada kemunculan filem seram terbaharu berjudul Qifarah, yang bakal menghantui pawagam seluruh negara pada 9 Oktober ini. Fenomena Blood Moon berlaku apabila bulan kelihatan berwarna kemerahan akibat pembiasan cahaya matahari oleh atmosfera bumi, sekali gus mencuri perhatian peminat astronomi dan orang awam.
Dalam pelbagai budaya dan kepercayaan, Blood Moon sering dikaitkan dengan unsur mistik dan ilmu hitam. Ia dianggap sebagai waktu paling kuat untuk ritual pemanggilan entiti atau upacara ghaib. Simbolisme inilah yang diangkat dalam Qifarah, menjadikan fenomena alam tersebut seolah-olah selari dengan jalan cerita filem ini.
Diterbitkan oleh Skop Productions dengan kerjasama MyWay Pictures serta Primeworks Studios sebagai rakan pemasaran rasmi, Qifarah bukan sekadar sebuah filem seram biasa. Filem ini mengisahkan seorang lelaki yang terjerat dalam legasi keluarganya yang mengamalkan ilmu hitam sejak kecil. Kisahnya sarat dengan mesej tentang akibat menyimpang daripada jalan kebenaran, serta balasan atau qifarah atas dosa dan perbuatan syirik yang dilakukan.

Persoalannya, adakah dia mampu membebaskan diri daripada sumpahan warisan keluarganya, atau akan menjadi korban seterusnya dalam rantaian hitam yang tidak berpenghujung? Dengan sinematografi yang suram dan elemen mistik yang menyeramkan, filem ini dijangka memberi kesan mendalam, bukan sahaja dari segi hiburan, tetapi juga kesedaran kepada penonton.
Filem ini turut menampilkan barisan pelakon hebat seperti Remy Ishak, Sharifah Sakinah dan Liyana Jasmay, yang diyakini mampu memberikan lakonan penuh intensiti. Gabungan ini menjadikan Qifarah antara naskhah seram tempatan yang dinantikan dan berpotensi mencipta fenomena tersendiri.
Treler rasmi Qifarah akan dilancarkan dalam masa terdekat untuk menghangatkan lagi keterujaan penonton menjelang tayangan penuhnya pada 9 Oktober ini. Untuk perkembangan terkini dan kandungan eksklusif mengenai filem ini, orang ramai boleh mengikuti laman rasmi Primeworks Studios di Facebook, Instagram, Twitter, dan YouTube.