Muslim Pro, aplikasi gaya hidup Muslim paling popular di dunia, melancarkan inisiatif kandungan terbaharu yang berani dan segar iaitu Stories by Muslim Pro. Inisiatif ini diwujudkan sebagai hab kreatif untuk mengetengahkan suara tulen, perspektif pelbagai, serta naratif autentik berasaskan pengalaman yang mencerminkan kepelbagaian dan kekayaan kehidupan masyarakat Muslim di seluruh dunia.
Pelancaran rasmi Stories by Muslim Pro diadakan menerusi sesi diskusi panel bertajuk “Storytelling in the Digital Era” bersama dua tokoh berpengaruh iaitu Nafees Khundker, Pengarah Urusan Kumpulan dan Ketua Pegawai Eksekutif Muslim Pro serta Abrar Hussain, pembikin filem tersohor pemenang pelbagai anugerah. Abrar turut bertindak sebagai juri bagi pertandingan global Stories of the Beloved, sebuah pertandingan filem pendek dan kandungan digital (UGC shorts).
Menurut Nafees Khundker, Muslim Pro kini bukan lagi sekadar aplikasi utiliti keagamaan, tetapi telah berkembang menjadi teman budaya dan rohani yang dipercayai jutaan pengguna. “Stories by Muslim Pro merupakan bab seterusnya dalam perjalanan kami, sebuah platform yang mengetengahkan kisah-kisah menginspirasi, menghubungkan dan menyatukan umat Islam merentas geografi, budaya dan generasi,” ujarnya.

Inisiatif ini dibuka dengan tayangan perdana dokumentari eksklusif Madina: The Enlightened City, hasil arahan Abrar Hussain yang terkenal dengan karya One Day in the Haram dan One Night in Al Aqsa. Menurut Abrar, dokumentari ini bukan sahaja merakam sejarah dan keindahan kota Madina, malah menzahirkan nilai kemanusiaan, sifat rendah diri, dan pengabdian yang menjadikan kota tersebut istimewa. Dokumentari ini boleh ditonton secara eksklusif di Muslim Pro bermula 1 Oktober 2025.
Turut dilancarkan ialah Stories of the Beloved, festival kandungan digital global yang meraikan pengalaman Muslim dalam kehidupan seharian. Ia menggabungkan karya pembikin filem profesional dan pencipta kandungan harian untuk berkongsi perspektif autentik tentang keindahan iman dalam dunia moden.
Pemilihan pemenang akan dilakukan oleh juri antarabangsa termasuk tokoh tempatan seperti Fikri ZamRi, pencipta kandungan digital Malaysia. Penglibatan beliau menyerlahkan peranan Malaysia dalam membentuk naratif Muslim di pentas global, sekali gus mengangkat suara serantau dalam landskap penceritaan dunia.

Muslim Pro juga mengajak komuniti antarabangsa untuk mengundi bagi kategori UGC Shorts Viewer’s Choice Award, yang dibuka kepada umum melalui aplikasi Muslim Pro bermula 9 hingga 21 September 2025.
Penonton boleh membuat pra-belian dokumentari Madina: The Enlightened City mulai 11 September sebelum ia distrim pada 1 Oktober. Selain itu, karya-karya terbaik daripada Stories of the Beloved juga boleh ditonton melalui aplikasi Muslim Pro dan platform video Qalbox. Inisiatif ini turut mendapat sokongan Gobi Partners.
Untuk maklumat lanjut serta akses penuh Stories by Muslim Pro, muat turun aplikasi Muslim Pro di Apple App Store atau Google Play Store, atau layari www.muslimpro.com.