Gelaran “Raja Lagu Galau” terbukti masih utuh apabila band pop-melayu dari Indonesia, Dadali, buat julung kali tampil menggegarkan pentas Malaysia menerusi konsert Dadali Sebuah Kisah Live in Kuala Lumpur di Zepp KL. Lebih 1,600 peminat membanjiri ruang konsert malam Sabtu lalu, menyanyi seirama dan larut dalam lautan emosi sejak persembahan bermula tepat jam 9 malam.
Selama hampir dua jam, Dyrga dan anggota band Boim, Rickarjd, Dendi, Hendi dan Obot menghidangkan 18 lagu galau popular seperti Di Saat Sendiri, Cinta Jangan Kau Pergi, Sakit Teramat Sakit, Aishiteru dan Mendua, diselang seli kejutan seperti Dikir Rambong. Persembahan ditutup penuh syahdu dengan lagu ikonik mereka, Sebuah Kisah.
Malam turut diserikan dengan kemunculan Ronnie Hussein sebagai artis undangan. Beliau menyampaikan lagu Hanya Aku dan Harapan, sebelum berduet dengan Dyrga dalam lagu Di Saat Aku Mencintaimu, mencetuskan sorakan paling gemuruh daripada para penonton.

Lebih istimewa, Dyrga turut mengumumkan projek filem biopik Sebuah Kisah, yang bakal mengangkat perjalanan 16 tahun Dadali dari sebuah garaj di Bogor hingga ke pentas antarabangsa ke layar perak. Walaupun pengumuman dibuat secara ringkas, ia cukup untuk mencetus keterujaan dalam kalangan peminat setia.
Konsert ini dianjurkan oleh Ultimate Teamworks Malaysia, Ultimate Media dan BIZCreations, dengan sokongan Tourism Malaysia bersempena kempen Visit Malaysia 2026, sekali gus menandakan permulaan kolaborasi budaya yang lebih kukuh antara Malaysia dan Indonesia.
Malam penuh emosi ini membuktikan bahawa muzik galau Dadali masih relevan, menyentuh hati tanpa sempadan, dan menyatukan dua negara melalui lirik yang penuh jiwa. – Tehtariktimes