‘MWA’ Jadi Ikutan Global

DOLLA DOLLA, MWA

Kumpulan gadis sensasi Malaysia, DOLLA, terus mengukuhkan nama mereka di pentas hiburan tempatan dan antarabangsa menerusi kejayaan MWA! Heist #2 yang berlangsung meriah di IOI City Mall Putrajaya pada 25 Mei 2025.

Acara ini merupakan kesinambungan kepada kejayaan Operation MWA! yang menggemparkan Bukit Bintang awal bulan ini. Dengan konsep lebih interaktif dan mendebarkan, MWA! Heist #2 memberi peluang kepada para peminat untuk menyelami dunia muzik video MWA! secara lebih dekat siap dengan zon pengalaman, sesi tarian, dan persembahan bakat secara langsung.

Antara segmen paling mencuri tumpuan ialah DOLLA Most Wanted Ace, di mana peminat yang berbakat dalam tarian, nyanyian dan rap berpeluang mempersembahkan bakat mereka di hadapan pihak pengurusan tertinggi Universal Music Malaysia. Tiga peserta terbaik pulang dengan hadiah barangan eksklusif DOLLA sekaligus menjadikan impian ramai peminat untuk lebih dekat dengan idola mereka satu kenyataan.

Tak kurang juga, segmen Random Dance Play yang menceriakan suasana apabila para pengunjung menari secara spontan mengikut lagu-lagu trending, termasuk hit viral MWA!.

Sejak dilancarkan, MWA! bukan sahaja berjaya masuk Carta RIM Malaysia di kedudukan ke-6, malah sudah pun mengumpul lebih sejuta tontonan di YouTube. Malah, lagu ini menjadi tular di media sosial, dengan tarian MWA! mendapat sambutan luar biasa dari negara seperti Brazil, Thailand dan Amerika Syarikat.

“Kami sangat teruja melihat sambutan luar biasa terhadap MWA! lebih-lebih lagi daripada peminat luar negara. Ia sangat memberi semangat kepada kami untuk terus berkarya dan membawa M-pop ke peringkat lebih tinggi,” kata DOLLA dalam satu kenyataan.

Dengan inspirasi muzik dari Brazil dan pengaruh Anitta yang ketara, MWA! jelas membawa warna baru dalam pasaran muzik Malaysia sekaligus membuktikan bahawa muzik tempatan mampu bersaing dan menarik perhatian dunia.