Pelakon berpengalaman Zamarul Hisham kembali mencuri tumpuan menerusi watak terbaharunya sebagai DSP Adlin dalam Blood Brothers: Bara Naga. Beliau membawakan karakter seorang pegawai polis yang tegas, berprinsip dan tidak gentar dalam misi menumpaskan kumpulan gangster kejam, Naga.
Zamarul, yang sebelum ini dikenali dengan watak pemimpin ajaran sesat dalam Langit Ke Tujuh, kini menampilkan sisi berbeza kepada penuh keberanian dan keyakinan. Wataknya tidak hanya bertarung secara fizikal, malah berani mempersendakan musuh dengan gaya sinis yang tajam.
“Blood Brothers merupakan peluang yang sangat bermakna buat saya, terutama selepas berehat seketika daripada dunia perfileman. Dapat kembali dengan sebuah projek berskala besar seperti ini amat saya hargai. Watak DSP Adlin pula merupakan antara peranan paling menarik dan mencabar yang pernah saya lakonkan,” kata Zamarul Hisham.
Blood Brothers: Bara Naga diterbitkan oleh Skop Productions dengan kerjasama Primeworks Studios sebagai rakan pemasaran rasmi. Diarahkan oleh Syafiq Yusof dan Abhilash Chandra, filem ini turut dibintangi Sharnaaz Ahmad, Syafiq Kyle, Shukri Yahaya, Wan Hanafi Su, Syazwan Zulkifly, Irfan Zaini, Andy Teh dan Amelia Henderson.
Filem aksi sarat emosi ini bakal menemui penonton di pawagam bermula 10 April 2025. Jangan lepaskan peluang untuk menyaksikan aksi penuh intensiti dan nilai persaudaraan dalam Blood Brothers: Bara Naga!