DUKES Kembalikan Kenangan Cinta Melalui Single Terbaharu, “Little Talks”!

Royal Blue and Yellow Modern Decorative Happy Thaipusam Instagram Post (3000 x 3000 px) - 3

Terkadang, kata-kata yang paling ringkas mampu menyentuh hati dengan makna yang begitu mendalam. Begitu juga dengan karya terbaharu daripada band indie rock Malaysia yang semakin meningkat naik, DUKES. Mereka kini kembali dengan single terbaru berjudul Little Talks, sebuah lagu pop rock yang menyentuh emosi cinta, kehilangan, dan nostalgia zaman remaja.

Lagu ini diinspirasikan daripada pengalaman peribadi pemain gitar DUKES, Rayyan yang mencipta Little Talks semasa berusia 17 tahun. Ia merupakan luahan jiwanya yang tulus dan penuh makna. Ketika itu, Rayyan sangat meminati dan mengagumi genre ‘Punk Rock’, dan Little Talks membawa nuansa muzik yang sedikit nostalgik, dengan sentuhan pengaruh daripada Blink-182, sebuah band pop punk terkenal dari Amerika Syarikat.

Little Talks menceritakan pengalaman cinta zaman remaja seorang lelaki yang telah ditinggalkan oleh pasangannya dan berusaha untuk memperbaiki hubungan mereka. Meskipun lagu ini ‘catchy’ dan berjiwa muda dengan melodi yang mesra dan ‘upbeat’, liriknya tetap menyimpan elemen kesedihan. Lebih menarik lagi, lirik lagu ini mengambil pendekatan ‘less is more’ dengan penggunaan kata-kata yang mudah dan berulang, memastikan mesejnya sampai terus ke hati pendengar tanpa memerlukan lapisan makna yang rumit.

Sebagai sebuah kumpulan yang berpegang teguh pada identiti muzik mereka, DUKES sentiasa mengutamakan kreativiti dan ekspresi dalam setiap karya yang dihasilkan. “Majoriti lagu kami dicipta sepenuhnya sendiri kerana sebagai sebuah band, kami bermain muzik bukan sekadar untuk hiburan, tetapi kerana minat yang mendalam dalam penulisan lagu. Bagi kami, karya itu sendiri amat penting,” kata DUKES.

Jipie, seorang produser berpengalaman yang turut terlibat dalam produksi Little Talks, menyatakan rasa teruja beliau untuk bekerjasama dengan DUKES, lebih-lebih lagi dalam sebuah karya berbahasa Inggeris. “Keunikan lagu ini terletak pada hook melody dan progression yang bermula perlahan sebelum berkembang menjadi lebih rancak. DUKES juga menunjukkan disiplin dan kerendahan hati yang tinggi sepanjang proses rakaman berlangsung, dan ini merupakan satu ciri yang sangat mengagumkan untuk artis baharu,” katanya.

Dengan harapan untuk menarik perhatian pendengar di peringkat antarabangsa, DUKES yakin Little Talks akan mencipta impak yang besar dalam industri muzik tempatan dan global. Dengan lirik yang mudah dihayati, melodi yang melekat dalam ingatan, dan susunan muzik yang seimbang, lagu ini berpotensi untuk menjadi kegemaran ramai.

Little Talks kini boleh didengarkan di semua platform digital. Jangan lepaskan peluang untuk menikmati sebuah karya yang akan membawa kembali kenangan cinta remaja melalui sentuhan muzik pop rock yang segar!

Untuk mendapatkan maklumat terkini tentang Alternate Records & Talents, layari akaun rasmi media sosial mereka di Facebook, @alternate.my_ di Instagram, dan @alternate.rt_ di TikTok.