Dari Harapan ke Penyesalan: Cinta Anggi Marito dalam Aku Bukan Untukmu

Anggi Marito mempersembahkan single terbarunya, Aku Bukan Untukmu, yang dilancarkan di bawah label Universal Music Indonesia. Lagu ini merupakan versi remake daripada lagu ikonik yang pertama kali dinyanyikan oleh diva Indonesia, Rossa, pada tahun 2004. Dicipta oleh Aji Mirza Hakim atau lebih dikenali sebagai Icha Jikustik, lagu ini menjadi sebahagian daripada album Kembali, dan kini Anggi memberi nafas baru yang segar untuk lagu yang sarat dengan perasaan penyesalan ini.

Lagu Aku Bukan Untukmu menggambarkan perasaan seseorang yang menyesal kerana telah mengabaikan cinta yang tulus dari orang yang menyayangi mereka. Anggi sendiri menjelaskan bahawa lagu ini menceritakan situasi di mana seseorang sangat dihargai oleh pasangannya, namun pada waktu itu, mereka tidak merasakan cinta yang sama. Ketika kasih sayang itu ditunjukkan, mereka malah menjauh. Tetapi apabila pasangan tersebut akhirnya memilih orang lain, barulah rasa penyesalan itu datang. Lagu ini tidak hanya menggambarkan perpisahan, tetapi juga menyedarkan bahawa cinta sahaja tidak cukup untuk mempertahankan sebuah hubungan.

Bagi Anggi, menginterpretasikan semula lagu yang sudah sangat identik dengan Rossa bukanlah tugas yang mudah. “Jujur, saya sangat gugup ketika diberitahu tentang projek ini. Lagu ini sudah sangat melekat dengan gaya dan jiwa Teh Ocha (panggilan mesra Rossa). Ia menjadi cabaran besar bagi saya untuk memberikan nuansa segar tanpa menghilangkan keaslian lagu ini. Namun, akhirnya saya berpuas hati dengan hasilnya,” katanya. Cabaran terbesar dalam projek ini adalah dari segi improvisasi vokal, yang banyak diarahkan oleh pengarah vokal Kak Barsena Bestandhi. Anggi mendedahkan bahawa banyak elemen yang tidak dijangka, tetapi akhirnya semuanya berjaya disesuaikan dengan baik, memberikan warna baru kepada lagu ini.

Dari segi muzik, lagu ini juga mendapat sentuhan baru dengan penggunaan beat yang lebih moden, berbanding versi asal yang banyak menekankan piano dan string. Elemen megah dari Budapest Scoring Orchestra turut ditambahkan, memberi kesan yang lebih mendalam di beberapa bahagian lagu. Dengan bantuan produser ternama Indonesia, S/EEK, lagu ini terasa lebih segar dan sesuai dengan karakter vokal Anggi Marito yang memikat.

Semasa proses rakaman, Anggi secara kebetulan bertemu dengan Rossa, yang turut memberikan respon positif terhadap versi terbaru ini. “Saya sangat suka dengan hasilnya, sangat bagus. Karakter vokal Anggi membuatkan lagu ini terasa segar, penuh emosi, dan susunan muziknya sangat memukau tanpa menghilangkan nuansa klasiknya,” puji Rossa, yang amat menghargai cara Anggi menghidupkan semula lagu ini.

Baik Anggi mahupun Rossa berharap agar lagu ini bukan sahaja menjadi nostalgia bagi pendengar yang sudah mengenali versi asal, tetapi juga memberi nafas baru kepada generasi muda yang mungkin tidak begitu familiar dengan lagu ini. Rossa menyatakan, “Saya rasa sangat gembira kerana lagu ini dilancarkan semula. Bagi mereka yang pernah mendengarnya dahulu, ia boleh menjadi kenangan indah. Tetapi bagi generasi baharu, lagu ini mungkin boleh menjadi anthem yang baru.” Anggi pula berharap, “Lagu ini diterima ramai tanpa perlu dibandingkan dengan versi asal, kerana apa pun versinya, lagu ini tetap indah untuk dinikmati.”

Dengan pelancaran terbaru ini, lagu Aku Bukan Untukmu kini boleh didengarkan di semua platform muzik digital kesayangan anda. Ini adalah sebuah lagu yang penuh dengan emosi dan kisah cinta yang menyentuh hati, sebuah lagu yang pasti akan memberi kesan mendalam bagi setiap pendengarnya. Jangan lupa untuk mendengarkannya dan nikmati interpretasi baru dari Anggi Marito.