Famili Duo Musim 4 Melabuhkan Tirai dan Mencatatkan 4.3 Juta Jumlah Penonton!

Rancangan realiti nyanyian keluarga paling popular di TV3, Famili Duo Musim 4, melabuhkan tirainya pada 15 Disember 2024 dengan penuh gemilang. Program yang menjadi pilihan utama rakyat Malaysia ini mencatatkan rekod cemerlang apabila ditonton oleh 4.3 juta penonton, menurut laporan AC Nielsen. Prestasi ini sekaligus mengukuhkan kedudukannya sebagai program slot Ahad dari jam 9 hingga 11 malam yang paling banyak ditonton, terus menghiburkan penonton di seluruh negara.

Musim keempat ini juga mencatatkan lonjakan luar biasa dengan peningkatan sebanyak 71.6% dari segi rating di Live TV dan AVOD di Tonton, berbanding musim sebelumnya. Prestasi hebat ini membuktikan kemampuan Famili Duo untuk bukan sahaja menarik perhatian penonton televisyen, tetapi juga memenangi hati pengguna digital, selaras dengan trend hiburan masa kini.

Di media sosial, laporan Meltwater 2024 menunjukkan kejayaan besar apabila rancangan ini mencapai jangkauan sebanyak 3.8 bilion. Fenomena Famili Duo turut dipacu oleh perbincangan tular mengenai pelbagai momen menarik, termasuk misteri pasangan Naqiu dan isu kehilangan duo Didi Astillah serta Thamiera.

Pada malam kemuncak, Shiha Zikir dan Ieda Zikir berjaya mencipta momen penuh magis apabila dinobatkan sebagai juara Famili Duo Musim 4. Persembahan mereka yang luar biasa dan memukau berjaya memikat hati juri serta penonton. Dengan penguasaan pentas yang kreatif, vokal mantap, dan penghayatan lagu yang mendalam, pasangan duo ini membawa pulang hadiah wang tunai RM100,000 beserta trofi kejuaraan.

Shiha dan Ieda turut mencuri perhatian apabila melaburkan RM60,000 dan menanggung kecederaan untuk menghasilkan persembahan terbaik. Malam tersebut menyaksikan mereka membawakan lagu Dokter Cinta dengan sentuhan futuristik dan elemen laser, disusuli dengan lagu Mentera Semerah Padi yang mendapat markah sempurna 10 daripada kedua-dua juri.

Naib juara, Ayie Elham dan Salma Asis, tidak kurang hebatnya dengan persembahan berkonsepkan Titanic menerusi gabungan lagu Kisah Ku Inginkan dan Haram, diikuti Mentari Di Ufuk Timur serta Meniti Titian Usang. Sementara itu, duo Tomok dan Sharul Kamal memeriahkan pentas dengan gabungan lagu-lagu bertenaga seperti Gadis Melayu, Lagu Jiwa Lagu Cinta, Menggegar Dunia, dan Sang Saka Biru.

Malam tersebut turut diserikan dengan persembahan istimewa daripada Mas Idayu, yang mengejutkan penonton apabila membawakan single baharunya, Harum Mekar Di Hati, sebagai penutup acara.

Carta Markah Pentas Akhir

  1. Shiha Zikir & Ieda Zikir – 82.9%
  2. Ayie Elham & Salma Asis – 79.5%
  3. Tomok & Sharul Kamal – 62.6%

Musim ini dibawakan khas oleh Perfume Paradise sebagai penaja utama, bersama Marigold HL sebagai rakan penaja. OhBulan! dan XTRA turut menyokong sebagai Famili Digital.

Untuk maklumat terkini tentang program TV3, ikuti media sosial rasmi di Facebook, Instagram, dan Twitter (@TV3Malaysia) serta TikTok (@TV3MalaysiaOfficial).