Killa Driz Kembali dengan Single Baharu ‘Cuci Mata’

Selepas mencuri tumpuan dengan single pertamanya, “Rap$tar”, di bawah label Def Jam Asia Tenggara, Killa Driz kini tampil dengan buah tangan baharu bertajuk “Cuci Mata”. Nama Killa Driz semakin dikenali dalam kalangan peminat muzik hip hop dan rap di Malaysia. Lagu ini memperlihatkan sisi kreatif dan gaya unik Killa Driz sebagai seorang artis yang semakin matang dalam penghasilan karya.

Menurut Killa Driz, lagu “Cuci Mata” tercetus secara spontan hasil gurauan bersama seorang rakan wanita. “Waktu itu, saya sedar bahawa bukan lelaki sahaja yang suka ‘cuci mata’, tetapi wanita juga suka melihat orang yang tampan,” ujarnya sambil berseloroh. Idea tersebut terus mencetuskan ilham untuk menghasilkan sebuah lagu yang ceria dan unik.

Proses penghasilan lagu ini dianggap pantas dan mudah. Dengan bantuan Meorey sebagai penyusun dan penerbit, Killa Driz berjaya menyiapkan lagu ini dalam tempoh yang singkat. “Prosesnya sangat mudah. Saya masuk ke studio dengan melodi yang sudah lama bermain di kepala. Saya freestyle sana sini dan dari situ, liriknya terus terhasil. Dalam proses ini, saya turut menemui sisi baharu diri saya sendiri,” katanya.

Menurut Killa Driz, proses kreatif ini dibantu oleh nasihat pihak A&R dari Def Jam Asia Tenggara. Malah, lagu ini menjadi karya paling cepat yang pernah dihasilkannya. Beliau juga menyatakan bahawa dia mahu bercerita tentang pandangan wanita dan cara hidup mereka, menjadikan tema “Cuci Mata” sebagai sesuatu yang segar dan berbeza dalam dunia muzik rap tempatan.

Untuk melengkapkan keistimewaan lagu “Cuci Mata”, Killa Driz turut melancarkan video muzik rasmi yang dirakam di Hotel Majestic Kuala Lumpur. Pemilihan lokasi tersebut adalah bertepatan dengan konsep “classy” yang ingin disampaikan dalam muzik video ini.

Pengarah muzik video, Irfan, berjaya menterjemahkan visi Killa Driz ke layar dengan menonjolkan sisi “Killa” dan “Driz” sebagai dua persona berbeza. Killa Driz menerangkan, “Sisi ‘Killa’ mewakili karakter yang ganas dan nakal, manakala ‘Driz’ pula lebih sopan dan penuh gaya.” Inspirasi visual ini turut dipengaruhi oleh watak filem ikonik seperti James Bond dan Bruce Wayne (lakonan Christian Bale dalam filem Batman).

“Saya mahu kelihatan mewah dan berkelas dalam video ini,” kata Killa Driz. Pemilihan Siti Harisa sebagai watak utama wanita dalam muzik video ini juga memberikan impak yang besar. Menurut Killa Driz, Siti Harisa berjaya melakonkan wataknya secara semula jadi, sekali gus menjadikan muzik video ini sebagai salah satu video terbaik yang pernah dihasilkannya. Proses rakaman berjalan lancar tanpa sebarang masalah, dan beliau turut berterima kasih kepada pasukan Tikipedia yang menyediakan peralatan teknikal serta menyumbang kepada kejayaan penggambaran tersebut.

Selepas pelancaran dua single di bawah Def Jam Asia Tenggara, Killa Driz kini sedang dalam perancangan untuk menghasilkan album penuh pertamanya. Proses ini turut melibatkan kolaborasi dengan nama-nama besar dalam industri muzik seperti Joe Flizzow, SonaOne, dan Alyph.

Killa Driz mengakui bahawa dia sedang mencari identiti muziknya sendiri, meskipun sudah mempunyai 50 hingga 60 lagu dalam simpanan. “Saya ingin kongsikan sisi lain Killa Driz yang mungkin ramai belum kenal. Saya mahu menghasilkan lagu-lagu yang lebih peribadi, bercerita tentang kehidupan dan pengalaman. Dengan cara ini, saya dapat terus berhubung dengan para pendengar,” jelasnya dengan penuh semangat.

Single “Cuci Mata” telah dilancarkan secara rasmi di semua platform muzik digital termasuk Spotify, Apple Music, dan YouTube Music pada 29 November 2024. Sementara itu, muzik video rasmi lagu ini telah ditayangkan secara eksklusif di saluran YouTube rasmi Killa Driz pada 4 Disember 2024.

Dengan single baharu ini, Killa Driz bukan sahaja mengukuhkan kedudukannya dalam industri muzik tempatan, malah membuktikan bahawa hip hop Malaysia mampu berkembang dengan konsep yang segar dan moden. “Saya harap pendengar akan suka lagu ini dan terus menyokong kisah-kisah saya dalam muzik,” katanya menutup bicara.