Kuasa Luar Biasa Kembali! Ejen Ali dan TNB Bergabung Dalam Misi Epik 2025!

Bersiap sedialah untuk ledakan kuasa yang luar biasa! Ejen Ali kini kembali dengan misi epik terbaharu yang penuh aksi dan kejutan. Kali ini, pengembaraan Ejen Ali menjadi lebih hebat dengan penglibatan strategik bersama Tenaga Nasional Berhad (TNB). Gabungan mantap ini bakal mencetuskan revolusi dalam dunia pengembaraan animasi Malaysia, di mana TNB akan memainkan peranan penting dalam Ejen Ali The Movie 2 (EATM2) yang dinanti-nantikan pada tahun 2025.

Kolaborasi berprestij ini diumumkan seiring dengan pelancaran teaser rasmi kedua EATM2 yang penuh aksi. Teaser tersebut memberi gambaran kepada penonton mengenai babak pengembaraan baharu yang lebih hebat, teknologi canggih, dan kemunculan musuh baru yang pasti membuatkan penonton tidak senang duduk. Lebih daripada sekadar filem, kolaborasi ini turut disertai dengan pelbagai kempen kreatif yang mengangkat mesej berkaitan tenaga lestari dan teknologi masa depan.

Ejen Ali bakal berdepan ancaman baharu yang tidak dijangka! Teaser rasmi kedua memperlihatkan kepulangan musuh lamanya, Neonimus — seorang penggodam licik yang diilhamkan oleh elemen permainan video. Neonimus membawa cabaran getir kepada kota futuristik Cyberaya, mencetuskan huru-hara yang menggugat keselamatan bandar tersebut.

Dengan motif yang masih belum diketahui, Neonimus melancarkan rencana jahat yang menguji keupayaan Agensi Rahsia MATA. Ini memaksa agensi tersebut untuk menghantar ejen terbaik mereka, Ejen Ali, yang kali ini dilengkapi dengan sut perisai canggih bernama SATRIA. Aksi penuh debaran ini bakal menjadi pertarungan sengit antara teknologi dan taktik penjenayah dunia siber.

Sebagai pembekal tenaga utama Malaysia, TNB memainkan peranan penting dalam menjadikan EATM2 lebih daripada sekadar filem animasi. Dengan pelbagai aset dan teknologi penjanaan kuasa yang canggih, TNB menghidupkan Cyberaya sebagai bandar futuristik yang penuh tenaga dan inovasi.

Pendekatan kreatif ini bukan sahaja memperkenalkan TNB sebagai penyedia tenaga masa depan, tetapi juga mengukuhkan kedudukannya sebagai rakan strategik utama dalam misi filem ini. Kolaborasi ini menandakan kali kedua TNB bergabung dengan Ejen Ali selepas kejayaan filem pertama pada 2019. Melalui EATM2, TNB ingin memberi inspirasi kepada penonton untuk memahami dan mengamalkan gaya hidup pintar dan lestari.

Pn. Nini Yusof, Ketua Pegawai Eksekutif, Rangkaian Televisyen Media Prima & Primeworks Studios, menyatakan rasa bangganya terhadap kolaborasi ini. “Kami amat berbangga kerana TNB menjadi Penaja Utama untuk Ejen Ali The Movie 2. Kejayaan kolaborasi kami untuk filem pertama pada 2019 membuktikan sinergi antara jenama kami. Dunia inovatif Ejen Ali adalah medium terbaik untuk mempamerkan program dan teknologi tenaga dari dunia sebenar, sekali gus memberi inspirasi kepada generasi baharu untuk mengamalkan gaya hidup pintar dan lestari.”

Menurut Pengarah EATM2 dan Ketua Pegawai Eksekutif WAU Animation, En. Usamah Zaid Yasin, “Kami amat menghargai sokongan TNB dalam memperkukuhkan kuasa Ejen Ali The Movie 2 dan kerana terus mempercayai daya kreativiti kami. Gabungan ini bukan sahaja membawa Ejen Ali kembali ke layar perak dengan penuh gemilang, malah kami teruja untuk menyampaikan mesej penting dalam kerjasama rapat dengan TNB bagi menjayakan misi ini di pawagam pada tahun 2025.”

Kerjasama antara Ejen Ali dan TNB melangkaui skrin pawagam. Menerusi filem ini, TNB mahu mengangkat mesej penting mengenai tenaga lestari, kecekapan tenaga, dan keselamatan elektrik. Mesej ini disampaikan dengan cara yang lebih kreatif dan mesra penonton, terutama sekali kepada generasi muda.

Satu elemen menarik yang bakal mencuri perhatian penonton ialah kemunculan semula maskot kesayangan TNB, Si Kucing Jero. Kali ini, Jero akan tampil sebagai pakar tenaga dalam dunia Ejen Ali. Gandingan duo Jero dan Ejen Ali bakal menghidupkan babak yang penuh aksi, lucu dan mendidik. Kandungan kreatif ini bertujuan memberi inspirasi kepada penonton untuk mengamalkan penggunaan tenaga yang lebih bijak dan lestari.

“Di Tenaga Nasional Berhad, kami percaya kuasa penceritaan boleh mencetuskan perubahan dan menyemarakkan inovasi. Kolaborasi kami bersama Ejen Ali The Movie 2 selari dengan komitmen kami untuk memacu kesedaran mengenai penyelesaian tenaga lestari dan teknologi masa depan. Gandingan bersama di dalam dunia imaginatif Ejen Ali The Movie 2 merupakan platform kreatif yang terbaik dalam memberi inspirasi dan mendekati penonton tempatan dan antarabangsa, terutamanya generasi muda. Bersama-sama, kita memperkasakan masa depan yang lebih baik, lebih cerah dan lestari — dengan satu misi yang sama.” kata Encik Samsul Ariffin Zainuddin, Ketua Komunikasi Korporat Kumpulan TNB.

Kerjasama ini juga merangkumi kempen khidmat masyarakat (PSA) yang bakal memfokuskan kepada topik-topik penting seperti kecekapan tenaga, penggunaan tenaga lestari, dan keselamatan elektrik. Setiap PSA akan disampaikan dengan pendekatan unik melalui dunia Ejen Ali dan Jero, menjadikan mesej tersebut lebih mudah difahami oleh semua lapisan masyarakat, terutamanya golongan muda.

Jangan lepaskan peluang untuk menyaksikan babak-babak mendebarkan dan penuh aksi yang dipertontonkan dalam teaser rasmi kedua Ejen Ali The Movie 2. Teaser ini kini boleh ditonton di saluran YouTube rasmi Ejen Ali di www.youtube.com/ejenali. Bersiaplah untuk menyaksikan pertarungan paling epik dalam sejarah Ejen Ali pada tahun 2025!

Cyberaya Memanggil… dan Kuasa TNB Menanti Anda di Masa Depan!